Rabu, 22 Oktober 2008

Mengapa Aku Jadi Begini?

Sepanjang ingatanku, aku menonton filem Jogho arahan U-Wei Haji Shaari di rumah ketika masih di bangku sekolah. Aku seronok menonton filem yang memaparkan sosio-budaya masyarakat Melayu di Bang Nara di Selatan Thailand. Tambahan lagi dialognya memanfaatkan dialek yang aku fahami. Lakonan Khalid Salleh sangat mengesankan. Dan aku tahu bahawa filem itu diadapasi dari novel Juara karya S. Othman Kelantan.

Ketika menuntut di UiTM, aku pulang bercuti di kampung. Pada suatu malam, di televisyen disiarkan secara langsung majlis penyampaian Anugerah Sastera Negara. Aku terpukau dengan keindahan bahasa dan intonasi yang digunakan oleh Dr. Wan Hashim Wan Teh ketika berpidato memperkenalkan penerima anugerah itu. Penerima anugerah yang berprestij itu ialah Allahyarham Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan. Beliau juga berpidato ketika menerima anugerah itu.

Ketika melintasi Kedai Buku Muda Osman yang bersebelahan Bank Pertanian Cawangan Machang, aku terlihat pada seraut wajah seorang lelaki penghias muka depan Dewan Sastera. Hatiku berkata:Eh, inilah Sasterawan Negara. Aku terus membeli majalah tersebut dan membacanya. Minatku kepada sastera semakin bertambah lantaran isi kandungannya, kemudian disuburkan dengan pembacaan karya-karya sastera yang kupinjam dari Perpustakaan UiTM Machang.

Kampus UiTM Cawangan Kelantan yang terletak di pinggir dan di puncak Bukit Anjing (kemudian ditukar nama kepada Bukit Ilmu) yang dikelilingi kehijauan dan dilatari dengan sawah padi dan kebun getah sering kali mendamaikan hatiku. Memandang Bukit Bakar, aku sentiasa tidak puas melihatnya dari kejauahan. Aku juga selalu menelusuri jalan-jalan kampung sekitar UiTM dan aku meneruskan hobi lama yang dilupakan ketika bersekolah di Kota Bharu - mandi sungai. Aku ke Hutan Lipur Bukit Bakar saban minggu untuk berenang bersama-kawan. Sesekali aku ke Jeram Linang.

Ketika mendapat keputusan STPM dan berkira-kira menyambung pengajian, cerita-cerita tentang UM seperti memikatku untuk ke sana. Ya, sejarah gerakan pelajarnya salah satunya. Di sini lahir watak-watak yang mewarnai landskap negara.

Tapi sebelum itu aku pernah membaca puisi yang ditulis oleh Hamzah Hamdani yang berjudul Kupilih Jalan Ini yang kubaca dalam Dewan Sastera. Beliau merupakan super seniorku di UM. Di bawah ini aku perturunkan keseluruhan sajak beliau.

Kupilih Jalan Ini

Kupilih jalan ini
kerana kurindu keindahan abadi
makna pencarian hakiki.

Saat teman-teman memanjat tinggi
aku memilih melata di bumi
mengutip kerikil-kerikil sepi
mentafsir dengan batini.

Kehidupan hanyalah debu
terbang menghilang di angin lalu
debu yang bererti adalah kesucian
makna keabadian yang teralpakan.

Kupilih simpang.
saat destinasi duniawi menggapai awan
yang kucari hanyalah lorong kecil
denai aksara berpelangi.

Semakin ke hujung
kesepianlah yang kutemui
ini jalan pulang kepada hakiki.

Saat pelangi kehidupan mempesona
aku memilih realiti ukhrawi
melepaskan realiti duniawi.

Hamzah Hamdani
Kota Kinabalu
3 Januari 2005


Puisi ini dan beberapa hal lain menyebabkan keinginanku untuk belajar sastera semakin meluap-luap. Dan pada Julai 2005, aku bermusafir seorang diri untuk mendaftar sebagai pelajar tahun satu di Universiti Malaya. Dan, ramai yang bertanyakan aku mengapa aku memilih menyambung pengajian dalam bidang sastera, puisi di atas adalah sebahagian daripada jawapanku berhubung dengan soalan mereka.

Selasa, 9 September 2008

MESTI BACA! : Cakap-cakap tentang Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa pengantar dalam Matematik dan Sains, dan Mentaliti Sesetengah Orang Melayu

Saya melayari laman web PTS, sebuah penerbit buku yang memperjuangkan penerbitan dalam bahasa kebangsaan. Ada masukan ('entry') dan komen daripada Puan Ainon Mohd (Sifu PTS) dan pembaca.

Di bawah ini saya perturunkan sebahagian komen daripada web tersebut.

Puan Ainon Mohd menulis:

Tuan Kamal Shamsuri,

(Kalau saya tulis apa yang akan tulis, banyak orang pasti tidak setuju, namun saya tulis juga.)

Saya dapati, di kalangan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, ada dua kelompok.

Kelompok pertama adalah golongan makan gaji: Mereka yang hidup makan gaji dengan kerajaan ataupun koporat besar, baik korporat nasional mahupun multinasional, mereka yang naik gaji dan naik pangkat disebabkan mereka pandai berbahasa Inggeris, maka mereka itu amat bangga berbahasa Inggeris. Mereka juga yakin bahawa bahasa Inggeris adalah syarat wajib jika mahu maju dan mahu berjaya dalam pekerjaan.

Bagi golongan ini, bahasa Inggeris adalah sumber estim mereka yang paling utama. Mereka mempersepsi diri mereka lebih pandai, lebih istimewa, lebih bergaya daripada orang lain yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Golongan ini sangat mementingkan anak-anak mereka belajar bahasa Inggeris, dengan matlamat supaya senang mendapat pekerjaan (makan gaji), bukan mengajar anak-anak mereka bagaimana menjadi orang kaya (yang membayar gaji).

Kelompok kedua adalah golongan yang memiliki banyak wang. Mereka ini mempunyai banyak wang hasil titik peluh mereka sendiri.

Golongan berwang ini mempunyai sikap amat pragmatik terhadap bahasa Inggeris. Bagi mereka, yang paling penting adalah WANG. Golongan ini melihat bahasa daripada sudut nilai ekonomi bahasa itu.

Bagi golongan ini, kalau dengan bahasa Inggeris mereka boleh buat duit, ok. Kalau mereka boleh dapat banyak duit tanpa bahasa Inggeris, ok.

Sumber estim golongan ini adalah WANG, yakni saiz bisnes mereka, akaun bank-bank mereka, kilang-kilang kepunyaan mereka, bangunan-bangunan tinggi mereka, jumlah cawangan kedai-kedai mereka, produk-produk mereka, jumlah pekerja mereka. Pendek kata, MONEY talks.

Itulah sebabnya kita lihat, yang menjadi juara bahasa Inggeris, yang mati-mati yakin hanya bahasa Inggeris dapat memajukan bangsa, adalah orang-orang yang makan gaji, ataupun mereka yang hidup dengan ikhsan kontrak kerajaan (senang cakap, mereka yang tidak memiliki wang berjuta-juta dalam akaun banknya).

Di sekeliling kita dapat kita lihat banyaknya individu yang fasih berbahasa Inggeris, tetapi setiap hari mereka bangun pagi-pagi kerana terpaksa pergi makan gaji dengan kerajaan, ataupun dengan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh bangsa-bangsa yang penguasaan bahasa Inggerisnya “entah di mana”.

Orang Melayu (termasuk Jawa) mesti berani berhenti daripada menjadi suatu bangsa yang hanya mengeluarkan anak-anak yang hidup makan gaji.

Orang Melayu mesti belajar menjadi suatu bangsa yang melahirkan anak-anak yang mampu membayar gaji.

Orang Melayu mesti belajar menjadi Tuan kepada tenaga kerja yang terdiri daripada bangsa-bangsa lain, dan rakyat negara-negara lain.




Kemudian, Kamal Shamsuri membalas:

Puan Ainon,

Meminjam kata-kata Puan:(Kalau saya tulis apa yang akan saya tulis, banyak orang pasti tidak setuju, namun saya tulis juga.)

Saya setuju dengan tulisan Puan tentang kerja makan gaji dan kerja sendiri dalam kalangan bukan Melayu. Ketika era kolonial, bahasa Inggeris diberi nilai ekonomi yang tinggi. Lulusan sekolah Inggeris mempunyai lebih peluang pekerjaan di sektor awam berbanding lulusan sekolah Melayu.

Penjajah turut menyemai pemikiran bahawa Melayu malas, untuk merasionalkan kedatangan mereka. Hal ini disentuh oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas dalam bukunya Mitos Peribumi Malas. Semua bangsa di dunia ada ahlinya yang malas. Tetapi bangsa Melayu diberi tumpuan untuk melemahkan semangatnya demi kepentingan ekonomi kapitalis penjajah.

Penjajah juga menanam fahaman bahawa orang Melayu sesuai makan gaji, susah kalau ingin berniaga. Orang Cina pula sesuai berniaga, susah kalau kerja makan gaji. Seoalah-oalah yang pandai berniaga ialah orang Cina sahaja. Ann Wan Seng menafikan fahaman tersebut dalam ‘Rahsia Bisnes Orang Cina’.

Saya berpendapat sesetengah orang Melayu tidak dapat menangguhkan kepuasan. Buat apa mereka berniaga, kerana hasilnya belum pasti, sedangkan ketika di universiti, mereka sudah berkira-kira untuk berkahwin setelah setahun dua bekerja kerana sudah ada calon pilihan dan takut si buah hati terlepas ke tangan orang lain. Kerja apa? Makan gaji lebih afdhal bagi mereka. Boleh buat pinjaman perkahwinan dan kereta sebab mereka ada slip gaji. Kalau ingin berniaga dengan modal yang kecil seperti berniaga di pasar malam atau pasar tani, tidak sesuai bagi mereka, kononnya tidak ada kelas. Mereka perlukan suasana yang selesa, ada pendingin hawa, memakai kemeja bertali leher, sesuai dengan ijazah yang diperoleh. Hal itu tidak termasuk kereta apa yang perlu digunakan untuk ke tempat kerja. Ibu bapa juga dua kali lima. Menantu lelaki mereka mesti makan gaji, walau gajinya kecil. Senang sahaja alasannya, anak mereka tetap dapat makan hari-hari kerana suaminya ada gaji tiap-tiap bulan. Walhal kawan kepada menantunya tadi yang jadi petani atau peniaga kecil pendapatannya berganda-ganda. Tapi biasalah bagi yang mula-mula menceburi pertanian dan perniagaan, hasilnya memang tidak menentu. Hal itulah yang dibimbangi oleh sesetengah ibu bapa Melayu.

KALAU MAHU MELIHAT KEJAYAAN BANGSANYA, ORANG MELAYU MESTI BERKORBAN SESETENGAH PERKARA ATAU KESERONOKAN.

Memang susah untuk mengikis mentaliti makan gaji orang Melayu. Sebab pemikiran sebelum merdeka masih melekat kuat. “Jangan jadi petani, hasilnya tidak menentu” sudah tidak relevan lagi pada hari ini kerana kita boleh mengaplikasikan kaedah teknologi yang terkini dan canggih. Zaman dulu, menjadi petani memang azab kerana harga getah RM 0.30 sekilogram. Sebab itu orang tua-orang tua selalu berpesan:"Belajar rajin-rajin, nanti dapat jadi pegawai kerajaan.”

Dalam satu seminar tentang ekonomi, seorang pembentang kertas kerja Melayu menegur orang Melayu. Kata-kata ini akan kedengaran dalam kalangan orang Melayu:

“Aiman belajar rajin-rajin. Bila besar nanti boleh kerja dengan Petronas.”

“Ros belajar biar pandai. Nanti bila SPM dapat semua A, boleh minta biasiswa JPA atau MARA. Lepas itu, sambung belajar di UK dan balik jadi pensyarah di UIA.”

“Periksa SPM ini, kau buat yang terbaik. Kalau dapat masuk universiti, keluar nanti jadi pegawai. Kalau tidak dapat masuk, mintalah kerja yang sesuai dengan kerajaan. Gaji ada, elaun ada, pencen pun ada! Bulan-bulan dapat gaji. Tidak payah fikir banyak-banyak.”


Saya juga selalu mendengar ayat-ayat seperti:

“Kau kerjalah sebagai guru, banyak cuti.”

“Baik kerja kerajaan. Senang bila tua nanti, ada pencen. Anak-anak pun boleh merasa.”


Kita sepatutnya berpesan sebegini:

“Aiman belajar rajin-rajin. Bila besar nanti boleh buka ladang kelapa sawit yang paling luas di negara kita.”

“Ros belajar biar pandai. Nanti bila dapat keputusan SPM semua A, boleh minta bissiwa JPA atau MARA dan belajar di UK. Balik nanti boleh buka kompeni perkapalan.”

“Periksa SPM ini, kau buat yang terbaik. Kalau dapat masuk universiti, keluar nanti kau usaha sampai dapat beli syarikat asing yang ada di negara kita.”


Kita perlu bercakap benda-benda yang besar, tetapi realistik dan berperancangan.

Puan,

Fenomena minda tertawan tetap dan masih kelihatan. Kekaguman kepada bangsa yang menjajah masih ada. Yang cantik mesti berhidung mancung, berkulit putih atau berwajah Pan-Asia seperti yang terdapat dalam iklan-iklan komersil. Seorang pengkaji dari UNIMAS mendakwa pengagum penjajah menganggap karya-karya sastera yang ditulis oleh peribumi Afrika dalam bahasa Inggeris tidak sebagus karya yang ditulis oleh orang Inggeris. Bagi mereka, yang bagus ialah Inggeris.


sumber:
UNIKA PTS

Sabtu, 6 September 2008

Akademi Sastera lahirkan pengkritik pelapis

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

JIKA dunia hiburan mempunyai pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia (AF) dan Akademi Nasyid, bidang kesusasteraan tanah air juga mempunyai akademinya sendiri bagi melahirkan karyawan-karyawan sastera.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

misalnya, telah menganjurkan pertandingan Akademi Sastera (AS) bagi menyemarakkan semula dunia kesusasteraan tempatan yang dikatakan semakin lesu.

Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz berkata, apa yang lebih penting beliau berharap agar AS dapat melahirkan karyawan-karyawan pelapis dalam bidang kritikan sastera dalam genre novel, cerpen, puisi dan drama pada masa depan.

Menurutnya, menerusi pertandingan yang julung kalinya diadakan itu, format yang diperkenalkan dalam AS tidak jauh beza seperti program-program realiti televisyen (TV) di mana ia menyediakan mentor, pengkritik dan juga juri profesional.

Menerusi AS, para peserta bukan sahaja mengemukakan kertas kerja hasil kritikan sastera yang mereka tampilkan, tetapi para penonton juga dibenarkan bertanya soalan kepada para peserta.

“Cuma bezanya AS bertujuan melahirkan golongan karyawan sasterawan pelapis yang berwibawa pada masa depan. Idea pertandingan ini muncul selepas kami melihat perkembangan yang berlaku sekarang ini di mana sastera semakin dipinggirkan.

“Ekoran semakin banyak program TV realiti seperti AF, DBP rasa terpanggil untuk memikirkan suatu kaedah bagaimana untuk memasarkan produk-produk sastera. Itu antara sebab kami wujudkan AS,” katanya pada pertandingan akhir AS di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada AS musim pertama, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Zarif Hassan muncul juara pertamanya menerusi kajian serta kritikannya berjudul Konseptual Shahnon Ahmad Terhadap Kemungkaran Melalui Tivi: Satu Analisis Berdasarkan Konseptual Kata Kunci.

Dengan kemenangan itu, beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Izzah Abdul Aziz.

Tempat kedua dimenangi oleh Zamzuri Mustapha dari Universiti Malaya (UM) menerusi kritikannya bertajuk S.M. Zakir Sebagai Pengarang Oksidentalis: Satu Kajian Ke Atas Tiga Buah Cerpen dan menggondol hadiah wang tunai RM700 dan sijil.

Tempat ketiga dimenangi oleh Rosnani Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui kritikannya berjudul Puitika Dalam Syair Perang Makasar dan membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil.

Sementara itu, Bop Abdul Gapor dari UKM (Novel Kawin-Kawin: Analisis Semiotik) dan Siti Nadia Hamnain dari UM (Sangeetha: Kepikunan Mengheret Keterpinggiran Dan Penindasan) masing-masing menerima hadiah sagu hati wang tunai RM300 dan sijil penyertaan.

Pada pertandingan anjuran bersama DBP, UM, UKM dan UPM itu, setiap peserta akan diberi tunjuk ajar oleh tiga mentor iaitu Mohamad Saleeh Rahamad, Naffi Mat dan Che Abdullah Che Ya selain menerima kritikan daripada Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Mohamad Daud Mohamad ketika setiap peserta membentangkan kritikan sastera mereka.

AS yang bertemakan Pembinaan Kritikan Sastera dan Modal Insan Berketerampilan itu juga membariskan tiga juri iaitu Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (UM), Prof. Madya Dr. Hanapi Dollah (UKM) dan Dr. Kamariah Kamarudin (UPM).

Jelas Izzah, AS musim kedua akan diteruskan pada tahun depan di mana selepas ini DBP bercadang untuk memperluaskan lagi pertandingan itu untuk tontonan khalayak yang lebih besar.

“Kami mungkin akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana stesen TV yang berminat bagi menyiarkan rancangan ini di saluran mereka. Kalau boleh kami mahu pertandingan ini bukan sahaja diikuti oleh para pelajar universiti tetapi juga di luar kampur.

“Bagi menambah penyertaan, kami juga akan membukan pertandingan ini kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta pada masa depan. Cara ini mungkin boleh mempopularkan lagi bidang sastera di negara ini,” ujarnya.

Biarpun baru kali pertama dianjurkan tetapi AS dilihat berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang kritikan sastera meliputi teori Feminisme, Takmilah, Persuratan Baru, Hegemoni, Kata Kunci, Pengkaedahan Melayu, Kajian Budaya dan Historisisme.

Perkara itu diakui oleh Ketua Juri AS, Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan yang berpendapat calon-calon yang bertanding kali ini menampilkan kritikan-kritikan sastera yang boleh dibanggakan biarpun mereka masih bergelar mahasiswa.

“Sukar untuk kami mencari pemenang pertandingan peringkat akhir ini kerana kebanyakan mereka membentangkan kertas kerja yang rapi dan teliti di mana ia lebih baik berbanding peringkat saringan.

“Cuma ada beberapa perkara yang harus diperbaiki iaitu daripada sudut penyediaan kertas kerja yang sedikit kurang konsisten, konsep definasi sesuatu kritikan yang kurang jelas kerana ia boleh menganggu analisis serta huraian fakta yang tidak dikaitkan dengan analisis,” komennya.

Kajian dan pemilihan teks dalam kritikan AS terbuka kepada sastera Melayu di mana format pemarkahan adalah 40 peratus untuk pembentangan teks dan 60 peratus markah diberi semasa sesi pembentangan.

(Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm)

S.M. ZAKIR SEBAGAI PENGARANG OKSIDENTALIS: SATU KAJIAN KE ATAS TIGA BUAH CERPEN

oleh Mohd Zamzuri bin Mustapha

Pendahuluan

Dunia kesusasteraan diserikan dan dirancakkan oleh suatu konsep baharu, iaitu pascakolonial yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peneliti sastera, sejak istilah tersebut muncul seputar lima dekad lalu. Pascakolonial telah meruntuhkan tembok agam kesusasteraan yang selama ini semacam memberikan ruang yang tidak terbatas kepada Barat untuk melakukan wacana, tanpa mengizinkan dunia selain Barat untuk tampil dengan wacananya sendiri.

Kajian ini akan menganalisis cerpen-cerpen S.M. Zakir dalam konteks bacaan pascakolonial, iaitu suatu bacaan yang memiliki ciri-ciri diskursif, mempunyai bentuk-bentuk representasi seperti perlambangan, imej dan sebagainya. Peribadi pascakolonialisme yang dimaksudkan ialah sikap dan pendirian yang memencarkan respons pascakolonial, sama ada secara eksplisit mahupun implisit. Sebagai pengarang yang lahir selepas kemerdekaan, S.M. Zakir dihadapkan dengan masyarakat yang hidup selepas era kolonialisme tamat. Keadaan masyarakat yang masih melekit dengan sisa tinggalan kolonialisme tentulah memberikan ruang kepadanya untuk dijadikan subjek dalam karya kreatifnya.

Dalam dunia pencerpenan, S.M. Zakir memiliki sikap dan pendirian serta pandangannya yang memaparkan sikap pascakolonialismenya, dan beliau menempatkan dirinya sebagai pengarang oksidentalis, yakni pewacana Barat serta hegemoninya. Dalam upaya meneliti ideanya, tiga cerpen beliau akan dikaji dan dibahagikan kepada tajuk-tajuk seperti ”Wacana Oksidentalisme”, ”Hikayat Lelaki dan Pulau: Kelemahan Sistem Bikinan Barat”, ”Moluska: Krisis Identiti Peribumi” dan ”Lelaki Bersayap Putih: Permasalahan Bahasa Kebangsaan”.

Wacana Oksidentalisme

Oksiden bermakna “dunia belahan barat”, dan secara etnologis bermakna “bangsa-bangsa di barat”. Daripada kata akar itu, telah berkembang satu istilah dalam kajian pascakolonial, iaitu oksidentalisme, iaitu suatu wacana yang memperihalkan dunia Barat. Oksidentalisme juga disebut dengan berbagai-bagai nama, contohnya westernism, orientalisme in reverse (orientalisme terbalik), dan europhology (ilmu tentang Eropah). Hassan Hanafi memperincikan gagasan oksidentalisme sebagai satu anjuran pegangan untuk umat Islam, atau negara Islam bagi mendepani hegemoni Barat dalam konteks budaya, politik, dan kenegaraan (Hassan Hanafi, 1993). Hassan Hanafi menghuraikan permasalahan dikotomi antara Barat dengan Timur dan konsep oksidentalisme melalui pendekatan historikal dan teoretikal (Mohamad Saleeh Rahamad 2007: 171-202).

Disebabkan gagasan oksidentalisme ini bersifat teori bacaan (theory of reading), penemuannya tentulah bervariasi: ada yang bersifat antikolonialisme dan antiimperialisme, dan ada pula yang pro-Barat. Kesemua penemuan tersebut berkait rapat dengan keadaan masyarakat yang melatari penulisan sesuatu karya dan kecenderungan pengarangnya. Hal ini demikian kerana belum ada satu kajian yang bersifat teoretikal, sebagaimana yang dilakukan oleh Edward Said dalam upayanya mencirikan Orientalisme. Jika ada pun kajian, fokusnya hanya terbatas kepada hasil karya daripada negara atau golongan pengarang tertentu (Mohamad Saleeh Rahamad, 2007: 171-202).

Menurut Hassan Hanafi, tugas oksidentalisme ialah menguraikan sejarah hubungan non-Eropah dengan Eropah, menumbangkan keagungan Eropah dengan menjadikannya sebagai objek yang dikaji, dan menghapuskan perasaan rendah diri non-Eropah (Timur) dengan menjadikannya sebagai subjek pengkaji. Dengan kata lain, oksidentalisme menghilangkan rasa tidak percaya diri atau inferiority complex di hadapan Barat dalam soal kebudayaan, bahasa, ilmu pengetahuan, teori, mazhab, dan pendapat, dan selanjutnya menimbulkan rasa tinggi diri (megah pada diri sendiri) atau superiority complex . Secara ilusif, rasa rendah diri berubah menjadi super, seperti yang berlaku di Iran tatkala rejim Shah yang disokong oleh Barat ditamatkan oleh Ayatollah Khomeini yang membawa tradisi Islam fundamental. Rasa super (kehebatan diri) yang muncul secara ilusif itu bertitik tolak daripada reaksi terhadap superioriti kebudayaan Barat yang berkecenderungan rasialisme secara eksplisit mahupun implisit.

Bagi Hassan Hanafi, oksidentalisme ialah wajah lain bahkan berlawanan dengan Orientalisme tetapi bukanlah bertentangan secara keseluruhannya dengan Orientalisme. Oksidentalisme bikinannya tidak bertujuan melakukan pembalikan secara total kepada Orientalisme. Orientalisme bersifat tidak neutral dan berfungsi sebagai alat imperialisme, mengekalkan kuasa hegemoni walaupun selepas berlalunya era penjajahan politik dan ketenteraan, manakala oksidentalisme hanya bertujuan membebaskan diri daripada pengaruh pihak lain supaya wujud kesetaraan antara al-ana (dunia Islam dan Timur) dengan al-akhar (dunia Eropah dan Barat) (Hassan Hanafi, 1999: xvii & xix).
Dalam konteks kembali kepada realiti semasa, Hassan Hanafi menyenaraikan cabaran yang berikut (Hassan Hanafi, 1999: 21):

i. membebaskan tanah air atau watan daripada serangan luaran kolonialisme dan Zionisme;
ii. kebebasan universal melawan dominasi, penindasan, dan kediktatoran dari dalam;
iii. keadilan sosial menghadapi jurang perbezaan yang lebar antara golongan kaya dengan golongan miskin;
iv. persatuan mendepani perpecahan dan diaspora;
v. pertumbuhan melawan keterbelakangan politik, sosial, ekonomi, dan budaya;
vi. identiti diri menghadapi pembaratan (westernisasi) dan kepengikutan; dan
vii. mobilisasi kekuatan massa melawan apatisme (sikap tidak peduli).

Hassan Hanafi menegaskan bahawa Barat tidak lagi perlu dikagumi, kerana selagi Barat masih menjadi sumber pengetahuan dan rujukan dalam melakukan penilaian atau penghakiman dan pemahaman, umat Islam tetap akan menjadi golongan bawahan yang memerlukan pelindung.

Sebagai projek untuk mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam, Hassan Hanafi mencadangkan satu revolusi moden; membebaskan umat Islam daripada kesalahan; menyempurnakan kemerdekaan; serta beralih daripada kemerdekaan ketenteraan kepada kemerdekaan politik, ekonomi, kebudayaan, dan peradaban.

Gagasan Hassan Hanafi ini nyata bersifat teori penghasilan (theory of production), iaitu satu anjuran revolusi mental yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam/ Timur untuk berhadapan dengan Barat. Beliau menyarankan kaedah untuk melihat Barat dengan cara melihat diri sendiri terlebih dahulu (yang sebenarnya mempunyai sejarah gemilang) sebelum menanggapi Barat dengan cara yang neutral. Jika ini diterapkan dalam sastera, akan terhasillah wacana oksidentalisme yang membawa obor untuk menerangi peradaban sendiri bagi memenuhi matlamatnya, iaitu mengeluarkan umat Islam daripada kegelapan. Maksudnya, karya sastera berwacana oksidentalisme menurut gagasan Hassan Hanafi akan melakukan usaha dekolonisasi dan mengembalikan jati diri sendiri yang berakar daripada kegemilangan tradisi (Mohamad Saleeh Rahamad 2007: 171-202).

Dengan landasan ini, wacana oksidentalisme bikinan S.M. Zakir akan dianalisis. Pembikinan wacana tersebut terungkap dalam banyak cerpen mutakhirnya, tetapi bagi tujuan kajian ini hanya tiga cerpen akan difokuskan. Pemilihan cerpen-cerpen ini beralasan kerana kesemuanya mengkhusus kepada pernyataan sikap pengarang terhadap idea Barat dan kuasa hegemoninya.

'Hikayat Lelaki dan Pulau': Kelemahan Sistem Bikinan Barat

Cerpen ini menemukan dua watak utama iaitu Shariar dan Sharazad yang merupakan pasangan kekasih. Nama-nama watak berkenaan menyerupai nama watak dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang dihasilkan oleh Nizami, pengarang dari Timur. Secara implisit, S.M. Zakir menggunakan peribadi manusia Timur/ Islam untuk mengetengahkan pemikirannya sebagai pengarang pascakolonial. Melalui teknik pemusatan idea, S.M. Zakir membentangkan hujah-hujah yang memaparkan bagaimana Barat dan sistem yang diciptanya telah menjungkirbalikkan atau menghuru-harakan dunia. S.M. Zakir melalui watak Sharazad mengajak khalayak berfikir mengenai masalah yang menimpa dunia pada masa ini, seperti di dalam petikan di bawah:

Kata Sharazad; kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Dia melihat ombak laut bergulung di celah kegawung senja yang semakin larut.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Bagi S.M. Zakir, sebahagian manusia yang mencurinya merupakan kelompok kapitalis yang membina sistem dan mempromosikan sistem itu kepada negara lain. Bertitik tolak daripada premis bahawa tidak akan wujud kesaksamaan dan keadilan untuk semua manusia lantaran sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di dunia pada hari ini, S.M. Zakir melakukan wacana oksidentalisme dalam melakukan dekolonisasi terhadap hegemoni Barat.

Kata Sharazad; dunia sekarang menjadi abdi kepada sistem yang dicipta oleh dan untuk segelintir manusia menjadi tuan yang maha agung. Sistem ini memberi sejenis nilai yang diwakilkan kepada sehelai kertas. Nilai ini kemudiannya menjadi pusat kepada segala kegiatan ekonomi manusia. Anehnya nilai ini kemudian mempunyai kuasa syaitan yang berkembang untuk mengikat manusia di dalam lingkaran apinya yang ganas sehingga semua manusia tenggelam di dalamnya. Dia melihat pasir-pasir putih menjadi kapas yang melayang ke langit.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Daripada petikan di atas, S.M. Zakir menyatakan bahawa sistem ekonomi ciptaan Barat, walaupun menawarkan harapan kepada manusia dalam menyusun kehidupan mereka, hakikatnya telah menyebabkan manusia sengsara akibat penggunaan wang kertas yang boleh dimanipulasikan oleh para pemodal.

Seterusnya, S.M. Zakir menempelak golongan kapitalis atau pemodal yang pada peringkat awal kononnya memberikan harapan baharu kepada dunia melalui mekanisme sistem kapitalisme. Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan secara individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kapitalisme). Demi memenuhi keserakahan nafsu yang tidak pernah puas, golongan kapitalis melakukan pelbagai kerosakan demi mencapai cita-cita mereka.

Kata Sharazad; golongan pemodal kini bukan lagi menjadi raja tetapi menjadi dewa-dewa Olympus yang menentukan bagaimana dunia ini harus diterbalikkan. Mereka mencipta perang, kebencian antara umat manusia, kehuruharaan, kebuluran dan kemiskinan yang semua ini akan menentukan mereka dapat hidup terus sebagai dewa-dewa yang mencatur kehidupan manusia di bumi. Dia melihat camar-camar laut bertukar menjadi malaikat-malaikat yang melemparkan batu-batu api ke atas manusia-manusia yang ingin menjadi dewa.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Kemudian S.M. Zakir menyatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis menjadi semakin 'baik' apabila kehidupan manusia bertukar menjadi sebuah masyarakat yang sekular, iaitu masyarakat yang memisahkan segala tindak- tanduk daripada pantauan Tuhan. Mereka bebas membelakangkan Tuhan dalam segala aspek kehidupan, sama ada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

(Petikan dari kertas kajian yang berjudul S.M. ZAKIR SEBAGAI PENGARANG OKSIDENTALIS: SATU KAJIAN KE ATAS TIGA BUAH CERPEN. Kertas kajian ini dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 29 Ogos 2008)

Selasa, 19 Ogos 2008

Sepucuk Surat untuk Seorang Perempuan

Sehari dua yang lalu aku membuka kotak e-melku. Ada iklan jawatan kosong dalam yahoogroups yang aku sertai. E-mel itu dari seorang perempuan. Aku tidak mengenalinya. Aku sunting tulisannya dan aku hantar kepada moderator. Esoknya, perempuan itu hantar e-mel kepadaku dan bertanya sebab musabab aku sunting tulisannya. Di bawah ini, aku perturunkan e-mel yang kuhantar padanya bagi menjelaskan tujuan aku berbuat demikian.

Assalamualaikum.

Saya sunting iklan/pengumuman itu kerana saudari menggunakan bahasa rojak. Bahasa rojak bukanlah istilah yang dicipta oleh ahli linguistik atau ahli bahasa, tetapi dicipta oleh orang yang mencintai bahasa. Bahasa rojak ialah menggunakan lebih daripada satu bahasa apabila mengucapkan satu wacana. Contohnya dalam satu ayat, kita gunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Cara untuk tidak dianggap menggunakan bahasa rojak ialah dengan menuturkan ayat penuh dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Contoh: Saya tinggal di Pantai Dalam (bukan bahasa rojak). I live kat Pantai Dalam (bahasa rojak). I live in Pantai Dalam (bukan bahasa rojak). Tidak salah menggunakan kedua-dua bahasa, asalkan menuturnya dengan ayat yang penuh.

Kita boleh gunakan bahasa lain jika tidak ada perkataan lain yang boleh digunakan, tapi gunakan tanda ' sebelum dan selepas perkataan tersebut, untuk menyatakan kita menggunakan perkataan asing. Sesetengah orang, mencondongkan perkataan asing tersebut, manakala ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan ungkapan 'dengan izin' apabila ingin menggunakan bahasa Inggeris, kerana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di negara ini.

Jika kita menggunakan bahasa rojak, menurut pakar bahasa, Prof. Dr. Awang Sariyan, bahasa kita sekerat ular sekerat belut.

Kita wajar menggunakan bahasa yang bukan bahasa rojak dalam bidang-bidang fungsional seperti pendidikan, ekonomi, kebudayaan, kehakiman, penerbitan, penyiaran dan sebagainya. Tiak salah kalau menggunakan bahasa rojak untuk tujuan yang tidak fungsional atau dalam urusan yang tidak rasmi, contohnya berbual-bual dengan jiran sebelah rumah sambil menyiram pokok bunga atau ketika membetulkan tali leher suami. Cuma dibimbangi penggunaan bahasa rojak itu terbawa-bawa dalam urusan yang seharusnya kita menggunakan bahasa yang standard.

Penggunaan bahasa rojak tidak disukai oleh mana-mana ahli bahasa dan linguistik, sama ada bahasa Melayu, Inggeris, Perancis atau Jepun atau bahasa-bahasa lain. Mereka tidak memandang tinggi orang yang menggunakan bahasa rojak, kerana bahasa bukan sekadar untuk mengucapkan lafaz nikah, tetapi digunakan untuk mengungkapkan pemikiran, wawasan, perasaan, falsafah dan banyak lagi.

Saudari,

Saya tidak pasti perhubungan sesama alumni UM di alam siber ini, sama ada atas urusan rasmi atau sosial kerana kita selesa mengaitkan dengan ukhwah. Tetapi saya diajar untuk tidak menggunakan bahasa rojak apabila menghantar e-mel kerana ruang untuk menulis lebih luas jika dibandingkan ruang yang ada dalam telefon bimbit.

Maafkan saya kalau sepatutnya tidak salah kita menggunakan bahasa rojak dalam Yahoogroups ini.
Dan, tidak ada bangsa besar di dunia ini yang maju dengan meminggirkan bahasa ibundanya sendiri.

Eh, macam kuliah pula rasanya. Jumpa lagi.

Ahad, 10 Ogos 2008

"Terima kasih kerana enti sudi jumpa ana,"

Suatu sore yang sedikit redup, aku menunggang motor cabukku melalui sebatang jalan yang agak sunyi di Kuala Lumpur. Aku gemar menunggang dengan perlahan, kebetulan memang motorku staminanya tak sekuat mana. Keadaan persekitaran yang redup kerana di kiri kanan pohon rendang memayungi jalan raya. Ketika asyik melihat persekitaran, aku sedar ada cahaya biru bekelip-kelip di hadapan. Ya Allah! Polis?

Aku memperlahankan motorku dan melilau mencari tempat yang sesuai untuk menyorok. Sebagai seorang warganegara yang patriotik, aku tak apa-apa kesilapan, kecuali menunggang motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan. Kupandu motorku ke tepi jalan. Alhamdulillah, ada sebuah tasik dengan pohon-pohon yang rimbun serta bangku-bangku yang sesuai untuk melepaskan lelah. Suasana di kawasan tersebut agak lengang.

Kuhentikan enjin motor cabukku ditepi sebuah pokok sena. Dan aku menapak perlahan menuju ke sebuah pokok sena yang terletak agak jauh dari bahu jalan. Manalah tahu polis datang dan bertanya khabar tentang motor aku. Tapi takkanlah polis rajin sampai macam tu.

Aku melepaskan debaran yang bersisa di pangkal sebatang pokok yang sebesar dua pemeluk. Eh, dah pukul 5.30 petang ni, kenapa orang macam tak ada di tasik ini? aku tanya pada diriku.

"Terima kasih kerana enti sudi jumpa ana," suara siapakah yang mengejutkan aku dari khayal. Polis? Aku sedikit gelabah, menggagau kunci motorku untuk bersiap sedia keluar dari kawasan tasik. Aku bukan risau tentang polis, tapi risau duit aku melayang.

Aku mengintai untuk melihat suara gerangan siapakah itu. Huh, selamat aku. Bukan polis. Ada dua orang perempuan dan seorang lelaki. Pakaian mereka kemas, kalaulah kemas itu bermaksud bergosok. Si lelaki ada sejemput janggut, sedikit kurus dan berbaju petak-petak kecil dan berseluar panjang serta bersandal. Barangkali jenama Jukebox. Hhmm, ciri-ciri tipikal pelajar dari sekolah beraliran agama. Heh, aku senyum. Pertemuan pasangan kekasih yang ditemani mahram, barangkali.

"Ana minta maaf sebab lewat," seorang gadis bersuara, tapi aku tak pasti sama yang memakai tudung ungu atau tudung merah jambu, kerana mereka membelakangiku.

Mungkin mereka ada mesyuarat? Eh, mesyuarat apa jauh sangat sebab aku dapat lihat perempuan bertudung merah jambu membawa beg berlogo sebuah IPT yang agak jauh dari tasik ini. Aku menumpukan perhatian pada perbualan mereka. Oh, mereka berkenal-kenalan rupanya. Perbualan mereka terkawal.

"Beginilah enti, ana beritahu satu perkara. Ana suka pada enti. Dan seandainya enti terima lamaran ana ini, ana tak nak kita berhubung sehinggalah enti berada di semester akhir. Ana tak nak cemari hubungan kita dengan perkara yang tak sepatutnya. Ana akan tunggu enti habis belajar. Lepas itu, kita bertunang ikut adat," wajah lelaki serius.

"Ana terpaksa maklumkan peraturan ini walaupun ana melamar enti kerana ana tak nak diserabutkan dengan masalah yang tak sepatutnya timbul. Ana banyak perkara lain lagi yang nak diperjuangkan selain perjuangan mencari isteri." Wow, aku terkejut dengan kata-kata lelaki tadi. Sebenar budak lelaki, tapi oleh kerana dia nampak lebih matang daripada usianya, aku beri kredit padanya. Entah-entah, dia memang dah tua, tapi awet muda.

"Ana beri masa kepada enti untuk fikir dan buat apa yang patut. Katalah sesudah 40 hari, berilah jawapan kepada ana. Katalah enti terima ana sebagai bakal suami, enti harus ingat bahawa ana berjanji akan kotakan segala apa yang ana cakap ni. Kalau enti berubah hati setelah membuat keputusan untuk menerima ana, khabarkanlah kepada. Dan, enti tak perlu berasa bersalah. Itu perkara biasa."


Aku terpana dengan kata-kata pemuda tadi. Eh, aku nak catatlah apa yang dia kata. Ya Allah, tak ada kertaslah. Ha, aku baru teringat, ada slip bank dalam dompet aku. Aku gagau pen dan tulis kata-kata lelaki tadi. Ya, dah siap dan boleh dijadikan entri dalam blogku. Menyesal pun ada, sebab tak bawa buku nota kecil yang selalu aku bawa tu.
Aku bangun perlahan-lahan dan menuju ke motor cabukku. Selamat. Aku berfikir-fikir bagaimana mahu memulakan entri yang terbaru kerana ceritanya sudah ada.

Ha, aku boleh memulakan dengan menyebut tentang petang yang redup!

Rabu, 30 Julai 2008

Anda Pernah Bahagia?

Seorang lelaki berambut kemas berbual-bual dengan seorang lelaki yang berpakaian lusuh -seluar dan bajunya. Barangkali mereka merupakan teman baik, walaupun dari segi penampilan amat jauh bezanya. Lelaki berbaju T-shirt lusuh sesekali tersenyum sambil sedikit rakus menyuap roti canai, sedang lelaki yang rambutnya kemas dek diminyaki (barangkali dengan minyak zaitun) mengacung-acungkan tangannya sambil bercerita. Perbualan mereka rancak, tanpa menyedari saya tiba di kedai makan tempat mereka berbual. Saya duduk di sebuah meja kosong, menghadap sebuah pokok yang rimbun.

"Kalau ikutkan hati aku, dah lama dah aku putus!" Bentak lelaki berambut kemas, sambil mula menyingsing lengan kemejanya.

"Rileks, jangan terburu-buru."

"Dia masih lagi nak main-main dengan aku. Kata macam tu la. Kata macam ni la. Aku bengang kau. Betul-betul bengang. Tak kira, kalau dia masih lagi berdolak dalih, aku tak sanggup diperbodohkannya lagi. Dah lama sangat aku tunggu!"

Lelaki berseluar khakis lusuh memberhentikan suapan roti canainya.

"Kau tahu, dia bohong aku. Aku ni punyalah ikhlas nak bertanggungjawab atas kesilapan kami. Kau tau, kalau orang tau kisah kami, tak ada siapa lagi yang akan jadikannya sebagai isteri. Aku boleh tinggalkan dia, tapi aku nak bertanggungjawab. kami sama-sama buat silap."

"Habis tu, apa kau nak buat?"

"Tak tau la, aku dah meluat kalau ingatkan dia. Malah tengok kawan dia aku pun aku meluat. Aku tak suka dengar nama dia, apatah lagi sebut nama dia. Dan, aku tak akan hadir mana-mana program yang mana dia terlibat - sama ada sebagai ad hoc atau peserta." Aku menggaru-garu kepala sambil menunggu roti canai yang kupesan siap. Hhmm, dahsyat sungguh orang bercinta kalau dah marah ya. Aku ketawa seorang diri. Dalam hati sahaja.

Lelaki berpakaian lusuh membetulkan cermin matanya yang melorot pada batang hidungnya, kemudian meneguk sedikit rakus segelas kopi, dan bersuara:

"Begini, dulu dia pernah membuatkan kau bahagia dan gembira. Kau pun begitu juga. Kau harus menghargai kebaikannya walau itu cerita dulu. Bukan saja kepadanya, kepada siapa sahaja. Memang dia silap, kau tak boleh ikut emosi. Kalau hubungan kalian dimulakan dengan cara yang baik, maka wajarlah ditamatkan dengan baik. Itupun kalau mahu ditamatkan. Kita perlu menghargai orang yang pernah hadir dalam hidup kita dan membuatkan kita bahagia, walaupun itu segalanya hanya tinggal kenangan cuma. Dan, kau tak wajar mendendaminya, kerana kau pernah berbahagia dengannya."

Aku menulis perbualan mereka untuk dijadikan entri pada kali ini.