Rabu, 30 Julai 2008

Anda Pernah Bahagia?

Seorang lelaki berambut kemas berbual-bual dengan seorang lelaki yang berpakaian lusuh -seluar dan bajunya. Barangkali mereka merupakan teman baik, walaupun dari segi penampilan amat jauh bezanya. Lelaki berbaju T-shirt lusuh sesekali tersenyum sambil sedikit rakus menyuap roti canai, sedang lelaki yang rambutnya kemas dek diminyaki (barangkali dengan minyak zaitun) mengacung-acungkan tangannya sambil bercerita. Perbualan mereka rancak, tanpa menyedari saya tiba di kedai makan tempat mereka berbual. Saya duduk di sebuah meja kosong, menghadap sebuah pokok yang rimbun.

"Kalau ikutkan hati aku, dah lama dah aku putus!" Bentak lelaki berambut kemas, sambil mula menyingsing lengan kemejanya.

"Rileks, jangan terburu-buru."

"Dia masih lagi nak main-main dengan aku. Kata macam tu la. Kata macam ni la. Aku bengang kau. Betul-betul bengang. Tak kira, kalau dia masih lagi berdolak dalih, aku tak sanggup diperbodohkannya lagi. Dah lama sangat aku tunggu!"

Lelaki berseluar khakis lusuh memberhentikan suapan roti canainya.

"Kau tahu, dia bohong aku. Aku ni punyalah ikhlas nak bertanggungjawab atas kesilapan kami. Kau tau, kalau orang tau kisah kami, tak ada siapa lagi yang akan jadikannya sebagai isteri. Aku boleh tinggalkan dia, tapi aku nak bertanggungjawab. kami sama-sama buat silap."

"Habis tu, apa kau nak buat?"

"Tak tau la, aku dah meluat kalau ingatkan dia. Malah tengok kawan dia aku pun aku meluat. Aku tak suka dengar nama dia, apatah lagi sebut nama dia. Dan, aku tak akan hadir mana-mana program yang mana dia terlibat - sama ada sebagai ad hoc atau peserta." Aku menggaru-garu kepala sambil menunggu roti canai yang kupesan siap. Hhmm, dahsyat sungguh orang bercinta kalau dah marah ya. Aku ketawa seorang diri. Dalam hati sahaja.

Lelaki berpakaian lusuh membetulkan cermin matanya yang melorot pada batang hidungnya, kemudian meneguk sedikit rakus segelas kopi, dan bersuara:

"Begini, dulu dia pernah membuatkan kau bahagia dan gembira. Kau pun begitu juga. Kau harus menghargai kebaikannya walau itu cerita dulu. Bukan saja kepadanya, kepada siapa sahaja. Memang dia silap, kau tak boleh ikut emosi. Kalau hubungan kalian dimulakan dengan cara yang baik, maka wajarlah ditamatkan dengan baik. Itupun kalau mahu ditamatkan. Kita perlu menghargai orang yang pernah hadir dalam hidup kita dan membuatkan kita bahagia, walaupun itu segalanya hanya tinggal kenangan cuma. Dan, kau tak wajar mendendaminya, kerana kau pernah berbahagia dengannya."

Aku menulis perbualan mereka untuk dijadikan entri pada kali ini.

Ahad, 20 Julai 2008

CATATAN PERJALANAN - Dari Petaling Jaya ke Suatu Tempat di Perak

Baru-baru dua orang temanku mengajak aku ke Perak atas urusan seorang teman. Sebetulnya aku menjadi penumpang, semata-mata. Kami bertolak selingkar jam 10 pagi, sedangkan seorang teman mengingatkanku supaya bersiap seawal jam lapan pagi.

Aku duduk di sebelah teman yang menjadi pemandu. Wah, inilah perjalanan pertamaku melalui Kuala Selangor, Sabak Bernam, langsung menyeberangi Sungai Bernam ke Perak. Betapa aku cukup terharu melihat keindahan negeriku (jangan kata aku perasan, negeri juga merujuk kepada negara). Keluar dari Petaling Jaya, melihat kerancakan pembangunan fizikal, ladang-ladang, pekan-pekan, desa-desa dengan seni bina rumah tradisinya, cepat pula menghantar keseronokan pada diriku yang memang suka bersiar-siar.

Dalam perjalanan itu, kami berbual-bual seputar dunia kemahasiswaan dan gerakan pelajar serta perkembangan politik semasa. Tidak lupa perbualan seputar usaha menghubungkan ikatan kasih seseorang, tapi bukan aku. Sejujurnya, aku banyak mendengar dalam perjalanan dek terpukau dengan persekitaran yang buat pertama kali aku jamah.

Kami berhenti solat zohor (dan jamak solat asar) di bandar Sabak Bernam. Saat tiba di pekarangan masjid, gerimis mengguyur. Sempat aku berlucu kepada seorang teman,"biasanya dalam karya sastera, latar memainkan peranan penting. Apakah maksud gerimis ini dan kedatangan kita ke rumah gadis itu?" Temanku itu hanya senyum.

Dapat aku simpulkan betapa bumi Selangor dan Perak amat subur. Jaringan jalan raya amat baik.

Apabila melalui tempat-tempat kelahiran seseorang pengarang, aku akan bersuara: Oh, di sinilah asalnya pengarang sekian sekian.

Kami tiba di tempat yang ditujui sekitar 2.30 petang. Keadaannya agak redup dan sunyi menguasai ruang rumah itu. (Hhmm, patutlah kalau berkahwin perlu ada anak, sunyi juga kalau hidup berdua ya.)

Seorang perempuan berwajah jernih melayani kami dengan baik sekali. Suaminya juga begitu. Perbualan kami juga menyinggung tentang politik, ekonomi - kelapa sawit, getah, dan banyak lagi. Yang seronoknya, kami dihidangkan dengan air teh O, keropok keping, nugget dan biskut. Juga disediakan sepiring sos untuk dicecah dengan keropok dan nugget yang masih panas-panas lagi. (Ya Allah, bagaimana aku boleh ingat semua makanan itu, nostalgiknya! Atau aku memang suka makan atau aku suka bersifat antropologis).

Oh, ya selepas itu kami dijemput untuk makan tengah hari dengan pasangan suami isteri yang baik hati itu. Aku apa lagi, 'bedallah'. Temanku yang tahu sedikit sebanyak tentang masyarakat Jawa beritahu,"Inilah sambal orang Jawa." Barangkali dia fikir itulah kali pertama aku jumpa sambal sebegitu. Ya, memang betul. Kali pertama. dan harapnya, bukanlah kali terakhir.

Selepas makan tengah hari, maka berbincanglah kami dengan pasnagan suami isteri budiman itu. Er, aku tak bercakap, yang bercakap ialah dua orang temanku tadi. Rasa bersalah pun, aku datang semacam untuk makan sahaja. Tapi, aku berdoa semoga semuanya selamat dan temanku menjadi manusia yang paling bahagia.

Aku tidak pasti berapa lama kami berbincang. Tapi aku pasti perempuan berwajah jernih itu merenung lantai rumahnya saat kami meninggalkannya untuk pulang. Sekali lagi aku terharu.

Dan, seingat aku pada ketika itu - matahari segan-segan memunculkan dirinya selepas hujan menyirami kampung yang ditanami pohon-pohon kelapa sawit.

Petikan dari Sebuah Buku Anwar Ibrahim

"Selain agama, hanya sastera yang dapat mengajar manusia erti kemanusiaan" - Anwar Ibrahim dalam bukunya, 'The Asian Renaissance'

Maksud Hari Raya dari Sudut Bahasa

Hari Raya ialah hari kebesaran bagi umat Islam - sama ada Hari Raya Idilfitri atau Hari Raya Idiladha . Hari itu disambut dengan penuh keinsafan dengan menyedari betapa Tuhan telah memberi nikmat dan kelebihan kepada umat Islam.

Perkataan 'raya' berasal daripada dialek Acheh yang bermaksud besar. Jadi, hari raya ialah hari besar bagi umat Islam. Tetapi mengapa sahaja tidak disebut sebagai Hari Besar Puasa atau Hari Besar Haji. Nah, inilah kebijaksanaan nenek moyang orang Melayu. Untuk membezakan perayaan umat Islam dan perayaan orang bukan Islam, mereka memilih raya bukannya besar walaupun maknanya sama.

Sebab itu, saya kurang bersetuju apabila ada yang menyebut Hari Raya Hindu atau Raya Krismas.

Justeru, ada apa dengan perayaan berkembar?

Jumaat, 11 Julai 2008

Sebuah renungan pada suatu kem remaja Islam

Malam mula mengengsot-engsot, embun mula hadir sedangkan di dapur dan sekitarnya, beberapa gadis mula memasak untuk juadah bersahur keesokan harinya.

Suhairi baru tiba; meletakkan topi keledar dan failnya di atas sebuah meja plastik yang terletak di tengah-tengah dewan yang tak berdinding. Kemudian dia menoleh ke arah dapur. Bunyi periuk berlaga dengan singki, deruan air sungai, dan sayup-sayup urusetia memberi arahan ditangkap oleh gegendang telinga. Perempuan berbaju kurung tanpa suara membersihkan beras dan tidak sedar Suhairi memerhatikannya. Dari memerhatikan gadis bertudung hitam itu, kemudian melihat-lihat sekeliling tapak program, dan kegelapan malam yang pekat serta suhu yang semakin menurun yang memaksanya memeluk tubuhnya, pantas menjadikan begitu cepat terharu.

"Dia salah seorang yang mahukan supaya Islam tegak di bumi ini. Dan dia yakin dengan kemenangan," bisiknya dalam hati.

"Sayang sekali kalau-kalau perempuan seperti ini dimiliki oleh lelaki yang tidak mengerti, lalu disuruhnya perempuan ini menghentikan kerja-kerja dakwah, kononnya isteri harus berkhidmat kepada suami dan biarlah perempuan lain yang menggantikan kerja-kerja si isteri." Suhairi mula menjalarkan fikiran. Tapi dia pasti, dia bukan kebosanan. Dan dia memang senang begitu, melanjut-lanjutkan khayalan apabila keseorangan tanpa rakan berbual-bual.

'Aku wajar memperisterikan salah seorang daripada mereka sebagai memenuhi tanggungjawab dan sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka pada agama yang mulia ini.'

Di dapur, seorang yang ditaklifkan untuk menguruskan soal makan minum peserta dan urus setia sebuah kem remaja Islam, (dan dibantu oleh urus setia yang kelapangan)segera mengusir rasa kantuk sibuk memasak. Dan, air Sungai Congkak juga sibuk berebut-rebut menuju ke kuala.

Suhairi melanjutkan keharuannya dengan menulis-nulis sesuatu pada sehelai kertas.

Mengapa Nama Saya Zamzuri

Sepanjang pengetahuan saya, dalam kalangan adik-beradik saya, hanya nama saya yang tidak mempunyai makna; baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab. Saya cuba juga mencari makna dalam bahasa lain - tapi masih tak jumpa. Barangkali saya tidak begitu bersungguh. Serasa nama saya mempunyai makna dalam bahasa Itali, tapi entahlah. Apalah ada pada nama.

Saya pernah bertanya kepada emak tentang nama saya. Saya tanya,"kenapa berikan nama ZAMZURI kepada saya?" Emak hanya menjawab:"Habis, aku nak bubuh nama apa?" Saya memang tak berpuas hati dengan jawapan emak. Tapi, saya fikir itulah kali terakhir saya menanyakan tentang nama saya itu.

Ayah pernah bercerita, emak mahu menamakan saya dengan nama ZUZAMZURI, tetapi ketika proses mendaftar kelahiran saya, ayah terlupa suku kata pertama nama saya. Hasilnya nama saya ialah ZAMZURI.

Saudara harus bersyukur kerana dikurniai nama yang baik. Dan, saudara harus sedar betapa ibu bapa sauadara mahukan saudara berfiil perangai seperti nama yang diberi. Barangkali nama yang baik itu akan memberi semacam suatu kuasa yang boleh mempengaruhi kehidupan saudara.

Dan saudara juga harus bersyukur jika saudara juga berakhlak selaras dengan nama yang diberi.

Saya pula, dek kerana memiliki nama yang tidak mengandungi sebarang makna, terpaksa memperelokkan budi pekerti saya.

Ramai orang yang menyangka, dengan memberikan nama yang baik kepada seseorang anak, anak itu akan menjadi seorang yang baik dan soleh seperti namanya. Padahal kitalah yang mesti menjaga nama, bukan nama yang menjaga kita.