Ahad, 10 Ogos 2008

"Terima kasih kerana enti sudi jumpa ana,"

Suatu sore yang sedikit redup, aku menunggang motor cabukku melalui sebatang jalan yang agak sunyi di Kuala Lumpur. Aku gemar menunggang dengan perlahan, kebetulan memang motorku staminanya tak sekuat mana. Keadaan persekitaran yang redup kerana di kiri kanan pohon rendang memayungi jalan raya. Ketika asyik melihat persekitaran, aku sedar ada cahaya biru bekelip-kelip di hadapan. Ya Allah! Polis?

Aku memperlahankan motorku dan melilau mencari tempat yang sesuai untuk menyorok. Sebagai seorang warganegara yang patriotik, aku tak apa-apa kesilapan, kecuali menunggang motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan. Kupandu motorku ke tepi jalan. Alhamdulillah, ada sebuah tasik dengan pohon-pohon yang rimbun serta bangku-bangku yang sesuai untuk melepaskan lelah. Suasana di kawasan tersebut agak lengang.

Kuhentikan enjin motor cabukku ditepi sebuah pokok sena. Dan aku menapak perlahan menuju ke sebuah pokok sena yang terletak agak jauh dari bahu jalan. Manalah tahu polis datang dan bertanya khabar tentang motor aku. Tapi takkanlah polis rajin sampai macam tu.

Aku melepaskan debaran yang bersisa di pangkal sebatang pokok yang sebesar dua pemeluk. Eh, dah pukul 5.30 petang ni, kenapa orang macam tak ada di tasik ini? aku tanya pada diriku.

"Terima kasih kerana enti sudi jumpa ana," suara siapakah yang mengejutkan aku dari khayal. Polis? Aku sedikit gelabah, menggagau kunci motorku untuk bersiap sedia keluar dari kawasan tasik. Aku bukan risau tentang polis, tapi risau duit aku melayang.

Aku mengintai untuk melihat suara gerangan siapakah itu. Huh, selamat aku. Bukan polis. Ada dua orang perempuan dan seorang lelaki. Pakaian mereka kemas, kalaulah kemas itu bermaksud bergosok. Si lelaki ada sejemput janggut, sedikit kurus dan berbaju petak-petak kecil dan berseluar panjang serta bersandal. Barangkali jenama Jukebox. Hhmm, ciri-ciri tipikal pelajar dari sekolah beraliran agama. Heh, aku senyum. Pertemuan pasangan kekasih yang ditemani mahram, barangkali.

"Ana minta maaf sebab lewat," seorang gadis bersuara, tapi aku tak pasti sama yang memakai tudung ungu atau tudung merah jambu, kerana mereka membelakangiku.

Mungkin mereka ada mesyuarat? Eh, mesyuarat apa jauh sangat sebab aku dapat lihat perempuan bertudung merah jambu membawa beg berlogo sebuah IPT yang agak jauh dari tasik ini. Aku menumpukan perhatian pada perbualan mereka. Oh, mereka berkenal-kenalan rupanya. Perbualan mereka terkawal.

"Beginilah enti, ana beritahu satu perkara. Ana suka pada enti. Dan seandainya enti terima lamaran ana ini, ana tak nak kita berhubung sehinggalah enti berada di semester akhir. Ana tak nak cemari hubungan kita dengan perkara yang tak sepatutnya. Ana akan tunggu enti habis belajar. Lepas itu, kita bertunang ikut adat," wajah lelaki serius.

"Ana terpaksa maklumkan peraturan ini walaupun ana melamar enti kerana ana tak nak diserabutkan dengan masalah yang tak sepatutnya timbul. Ana banyak perkara lain lagi yang nak diperjuangkan selain perjuangan mencari isteri." Wow, aku terkejut dengan kata-kata lelaki tadi. Sebenar budak lelaki, tapi oleh kerana dia nampak lebih matang daripada usianya, aku beri kredit padanya. Entah-entah, dia memang dah tua, tapi awet muda.

"Ana beri masa kepada enti untuk fikir dan buat apa yang patut. Katalah sesudah 40 hari, berilah jawapan kepada ana. Katalah enti terima ana sebagai bakal suami, enti harus ingat bahawa ana berjanji akan kotakan segala apa yang ana cakap ni. Kalau enti berubah hati setelah membuat keputusan untuk menerima ana, khabarkanlah kepada. Dan, enti tak perlu berasa bersalah. Itu perkara biasa."


Aku terpana dengan kata-kata pemuda tadi. Eh, aku nak catatlah apa yang dia kata. Ya Allah, tak ada kertaslah. Ha, aku baru teringat, ada slip bank dalam dompet aku. Aku gagau pen dan tulis kata-kata lelaki tadi. Ya, dah siap dan boleh dijadikan entri dalam blogku. Menyesal pun ada, sebab tak bawa buku nota kecil yang selalu aku bawa tu.
Aku bangun perlahan-lahan dan menuju ke motor cabukku. Selamat. Aku berfikir-fikir bagaimana mahu memulakan entri yang terbaru kerana ceritanya sudah ada.

Ha, aku boleh memulakan dengan menyebut tentang petang yang redup!

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

waa.. terharu la baca kisah ni..

syuhadah dzarawi berkata...

hehe...sepatutnya dia menggunakan saluran yang betuL..a.k.a ubm

zamzuri_mustapha berkata...

UBM tu apa? Hahaha. Saya tak tahu sama ada mereka tahu konsep, teori atau metodologi UBM tu.

Mereka tak sebut pun UBM petang tu. Entah-entah saya tak sedar dek takut dicari polis. Hahaha.

Eh, mereka dan saya tu tahu tak apa itu BMU, eh UBM?

Tapi yang pasti, Syud memang tahu.

syuhadah dzarawi berkata...

hanya yang mengetahui akan mendalami dan yang menghayati akan merasai~hehe...ayat apa ni..? {ayat buatan sendiri}

p/s: seronok dengan Sultan Alaudin, tapi saYang saYa tidak memahami bahasa teater~

rudy bluehikari berkata...

wah! boleh dikembangkan menjadi cerpen dakwah ni. Selamat menulis sdr Zamzuri.

Tanpa Nama berkata...

juri, demo ni dah tak ingat ko kawe ko, balik kelate tu, jengok2 la ana ngan dawami atah jaafar rawas ni

Hafizi Q4
kalu ado Yahoo messenger tu, add lah deh : Mohaf_80