Selasa, 30 Mac 2010

"Kau tetap seperti usia 25 tahun walaupun usiamu 60 tahun."

Tiket bas ke Kuala Lumpur sudah habis. Tapi, saya harus segera ke Kuala Lumpur kerana esok ada urusan penting. Saya terpaksa menaiki teksi ke Kuala Lipis terlebih dahulu jika mahu segera ke sana. Sebelum bertolak, saya meminta seorang teman menjemput saya di Stesen Bas Jalan Pekeliling.

Sesudah melalui kawasan berbukit-bukau yang ditumbuhi hutan, kelapa sawit, getah dan belukar serta dihiasi dengan sungai-sungai jernih, akhirnya saya tiba di Stesen Bas Kuala Lipis. Stesen bas ini baru dibina, dan letaknya di Bandar Baru Kuala Lipis. Di sekitarnya terbina deretan rumah kedai. Sebenarnya, saya mampir di Kuala Lipis sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Jam sudah masuk pukul 4:30 petang setibanya saya mencecahkan kaki di bumi Kuala Lipis. Saya meluru ke sebuah kaunter tiket bertanyakan perjalanan ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, pukul 5:30 petang ada bas ke Kuala Lumpur melalui jalan lama Kuala Lipis - Raub. Wah, ini suatu pengalaman baru.

Sementara menunggu ketibaan bas, saya meninjau-ninjau sekitar stesen bas. Akhbar dan majalah yang dipamerkan tidak menarik minat saya untuk membelinya. Bersebelahan stesen bas, ada sebuah medan selera. Seperti suasana di stesen bas, keadaan di situ juga lengang. Beberapa lelaki sesekali ketawa ketika berbual-bual. Daripada loghat mereka, mereka orang Pahang.

Saya melihat dua orang India -seorang lelaki dan seorang perempuan - sedang bersembang. Tidak jauh dari saya, seorang perempuan tua seperti menunggu seseorang. Di hadapannya, kelihatan seorang lelaki dan seorang gadis sedang berbual-bual.

"Saya akan bertunang, kemudian kahwin. Dalam tahun ini juga," jelas sekali suara gadis berbaju kurung itu. Lelaki yang duduk selang dua buah kerusi darinya sedikit terkejut.

"Wah, budak perempuan yang aku selalu usik waktu mengaji di rumah Imam Mat sekarang 'dah 'nak kahwin. Bagus." Lelaki itu tubuhnya kurus, tampak gembira dengan pengumuman gadis bertudung coklat itu. Barangkali mereka dari kampung yang sama.

"Abang pula, bila 'nak kahwin? Umur 'dah 'nak masuk 30 puluh," entah mengapa, aku turut merasakan soalan itu juga ditujukan untukku.

"Errr. Eerr," lelaki itu menggaru-garu cuping telinganya. "Tak semua lelaki kacak macam aku kahwin pada usia yang muda. Ada beberapa perkara lagi yang perlu aku buat sebelum berkahwin. Rasanya tak perlu aku beritahu."

"Berilah nasihat atau apa-apa yang boleh saya pakai sebagai persiapan sebelum berumah tangga." Dengan wajah yang berseri-seri, gadis itu mengharapkan sesuatu nasihat dari lelaki itu.

"Hei, aku tak kahwin lagilah. Kau mintalah nasihat dari Datuk Fadzilah Kamsah."

Perempuan itu mencebik bibirnya, lelaki itu terkekeh-kekeh.

"Amboi, bakal pengantin ni! Tak sabar-sabar nampaknya." Dari raut wajahnya, lelaki itu juga tumpang gembira. Lelaki itu diam seketika, kemudian menggaru-garu cuping telinganya.

"Kalau kaumau suamimu seorang yang setia, er maksud aku ialah suamimu tak akan pandang perempuan lain selainmu, atau senang cakap suamimu tak akan tergoda dengan perempuan lain. Kunci utamanya terletak pada dirimu."

"Eh, kenapa pula!" perempuan itu kehairanan.

"Kau yang membuat pilihan dengan siapa kauberkahwin."

"Maksud abang?"

"Begini," lelaki itu membetulkan duduknya." Seorang suami yang hanya memandang isterinya, tidak akan sedar akan perubahan fizikal isterinya. Hal ini kerana setiap hari melihat wajah isterinya, dia tidak sedar akan perubahan yang berlaku pada diri isterinya kerana perubahan itu berlaku secara beransur-ansur."

Perempuan itu cuba memahami butir percakapan lelaki berambut lurus itu. Rambut lelaki itu terenjut-enjut diusap angin lembap."Katakanlah kauberpisah dengan temanmu. Sekian lama tak bertemu, akhirnya kalian bertemu dalam sebuah majlis. Maka, akan ada komen-komen seperti kau semakin tembamlah, kau semakin kuruslah dan macam-macam lagi. Komen-komen sebegitu lahir kerana adanya perbandingan antara kau pada masa lalu dan kau pada masa sekarang. Dalam memori mereka, kau begitu. Apabila bertemu, kau begini kerana dalam memori mereka, kau masih begitu."

"Kautau, perempuan yang berkahwin dan melahirkan anak - tak kiralah berapa ramai - akan hilang seri remaja dari wajahnya. Seri wajah remajamu akan hilang dirampas oleh anak-anak dan kepayahan hidupmu. Bukannya mudah membesarkan anak-anak."

"Tapi, yang menariknya jika suamimu menjaga matanya dari melihat perempuan-perempuan lain, kau akan tetap seperti pada hari perkahwinanmu kerana suamimu tidak sempat membandingkanmu dengan perempuan yang jauh lebih muda daripadamu. Di matanya, kau seperti pada hari pernikahanmu walaupun kau berusia 60 tahun. Umur kau sekarang 25 kan?"

Gadis itu senyap.

"Kaumuda atau tua bukanlah kerana usiamu sudah meningkat. Bukan. Tapi kerana adanya perbandingan antara kau dan perempuan lain. Begitu juga kecantikan."

Lelaki itu diam sebelum menggenyeh-genyehkan matanya. Mulutnya ditahan dikatup dengan tapak tangannya apabila dia menguap.

Sepi memanggung suasana petang yang teduh.

Saya cuba mengingati percakapan mereka. Barangkali saya boleh catatkan perbualan mereka. Gadis yang akan bertunang tadi sudah berlalu. Mungkin dia ke surau untuk solat asar. Dari jauh saya dapat lihat sebuah bas perlahan-lahan memasuki kawasan stesen bas. Dan, angin sore berhembus lembut - menyegarkan saya dengan udara lembapnya.

Catatan: Tajuk sebenar entri ini ialah "Kuala Lipis: Satu Catatan Transit"

Khamis, 11 Mac 2010

Teringat kata-kata Shahnon Ahmad

Saya tergesa-gesa keluar dari rumah kerana waktu untuk melapor diri sudah tiba, sedangkan saya masih lagi berkain pelikat dan berkopiah pulang dari satu majlis di rumah jiran di blok berhampiran.(Saya lupa majlis apa, tapi yang penting ada makan-makan). Barangkali mentor saya sedang menunggu di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ya, mentor saya beberapa kali menelefon bertanya di mana saya berada.

Dalam kekalutan untuk ke Menara DBP, saya capai apa yang saya fikirkan patut saya bawa. Beberapa helai pakaian dan alat tulis. Ketika menuju ke mostosikal buruk saya, saya hanya fikirkan mahu cepat sampai di sana. Barangkali mentor saya dan penganjur sudah bising-bising kerana kelewatan saya. Setelah meletakkan beg galas di dalam raga motosikal, saya cuba menghidupkan enjin motosikal, tetapi saya terdiam seketika apabila terpandang selipar yang saya sarung. 'Ya Allah, buruknya selipar aku. Macam ni nak pergi ke DBP?' saya menyoal dalam hati. Tapi entah bagaimana saya teringat kepada kata-kata Shahnon Ahmad dalam 'Gubahan Novel'. Katanya, seseorang penulis itu dinilai daripada apa yang ditulisnya, bukannya pada pakaian dan penampilannya. Serta-merta saya tidak berasa tidak bersalah dengan memakai selipar buruk. Kata-kata Shahnon itu saya bawa sepanjang program itu berlangsung. Banyak pengalaman yang saya dapat hasil bimbingan daripada mentor saya - Mohamad Saleeh Rahamad - tentang penulisan dan pembentangan kritikan sastera. Dan saya berasa amat bertuah dan seronok kerana dapat belajar banyak perkara baru, selain menambah kenalan yang meminati sastera. Salah seorangnya Zarif Hassan.

Dan Alhamdulillah, saya mendapat naib johan Akademi Sastera 2008 yang julung-julung kali dianjurkan oleh DBP. Hadiah kemenangan itu saya bahagikan kepada tiga - satu pertiga saya berikan kepada ibu, satu pertiga untuk menjamu kawan-kawan, dan satu pertiga untuk saya sendiri.

Selasa, 23 Februari 2010

Dia dan Sungai

Sudah berkali-kali dia melalui jalan kecil di pinggir sungai yang melingkari kampung itu, sehinggakan dia sudah lupa entah ke berapa kali. Apabila tiba di tebing sungai, dia akan berhenti, kemudian memerhati pemandangan di tepi seungai sambil mendengar derunya. Deruan air sungai itulah yang menjadi muziknya sejak dahulu. Kadang-kadang pernah dia terfikir, bagaimana hidupnya tanpa sungai itu. Barangkali dia akan panasaran.

Dia dibesarkan oleh arus dan deru sungai yang berpunca dari sempadan dua negeri. Ketika kecil, dia selalu memerhatikan hidupan yang bersahabat dengan sungai - ikan-ikan, ara, nering, buluh, kapal terbang, memerang, biawak, labi-labi, etak,dan manusia sendiri. Dari situlah dia mula-mula belajar menghargai alam. Dia juga selalu mengambil pelajaran dari pemerhatiannya itu.

Dan di sungai itu juga adalah menjadi tempat dia bermain. Ketika masih kecil dan belum bersekolah, dia bermain-main di bahagian cetek dengan mandi sambil menyimbah-nyimbah rakan-rakannya. Sesudah penat, mereka akan bermain pasir - membikin bangunan entah apa atau menimbus sebahagian tubuh. Apabila umurnya meningkat, dia mula belajar berenang. Mula-mula, dia berenang menggunakan pelampung. Sesudah ada keyakinan bahawa dia mampu berenang tanpa dibantu, dia mula berenang ke tengah sungai. Di situ ada sebuah tong dram yang diletakkan sebagai tempat bermain. Dia akan berenang ke sana dan mengambil nafas apabila dia berdiri di atas tong itu.

Pada usia kedewasaan ini, dia masih lagi menyusuri jalan di tebing sungai. Bagaimana rupanya sungainya ini? Dia perlu menyusuri sungai ini, kerana sudah lama dia tidak menyentuh airnya. Tidak jauh serumpun buluh, ada sebuat bot yang ditambat. Dia tahu, itulah bot yang digunakan oleh Tok Wan Umar untuk memukat ikan. Barangkali dia boleh meminta bantuan anak-anak lelaki tua itu untuk menyusuri sungai yang berakhir di Kuala Krai itu. Dan, dia akan rakamkan perjalanan itu sebagai catatan untuk mereka yang terkemudian.

Ahad, 21 Februari 2010

Sesudah Subuh

Dia keluar dari masjid sesudah membaca beberapa halaman al-Quran. Ada beberapa motosikal dan kereta melalui jalan di hadapan masjid. Barangkali pemandu kereta atau penunggang motosikal baru pulang dari bertugas pada waktu malam atau baru pulang dari meletakkan kuih untuk dijual di pasar. Di bahagian dapur rumah-rumah sekitar masjid yang kubahnya berbentuk bawang itu, cahaya lampu menerangi kegelapan. Barangkali perempuan-perempuan desa sibuk menyediakan sarapan buat anak-anak yang akan ke sekolah atau suami yang harus bekerja. Dia memilih untuk menyusuri jalan di pinggir sungai - menghirup udara pagi. Sesekali dia terdengar bunyi orang sedang menumis atau menggoreng atau perempuan menjerit membangunkan anak-anak. Dia dapat merasai keriuhan waktu pagi zaman kanak-kanak yang membuatkan dia tersenyum seorang diri. Demi memandang sungai yang derunya sedikit lemah kerana paras air menurun dek hujan tidak hadir lebih seminggu, dia seperti ditarik ke masa lalu. Dia seperti melihat dirinya yang berenang-renang dengan riang bersama kawan-kawan. Kemudian, ibunya akan melambai-lambai memintanya pulang untuk makan tengah hari. Alangkah seronoknya pada waktu itu, fikirnya.

Kemudian, sebelum berlalu untuk pulang ke terataknya, dia memandang ke arah hilir sungai. Matahari mula menggeliat, menyisihkan selimut kelam - perlahan-lahan - untuk menjemput hari baru.

Rabu, 3 Februari 2010

Bimbang

Bimbang

Mengapa harus kaubimbang untuk menghadapi hari esok.
Esok tetap datang
dan kau tak perlu menunggu datangnya fajar baru.
Kau juga tak harus khuatir tentang rezekimu.
Kau hanya perlu berusaha.

Apa kaufikir Allah akan menyia-nyiakanmu? Jangan begitu.

Aku tak fikir Dia tidak mempedulikanmu.
Bukankah kausolat lima hari sekali?
Bukankah dalam solatmu kau pohon kepada-Nya supaya memberikanmu rezeki.
Maka, hadapi sahaja hari ini dan esok dengan senyum yang tak kaubuat-buat.

Selasa, 3 November 2009

Buku dan Perhimpunan Mingguan

Saya ke perhimpunan mingguan dengan membawa beg sandang kuning yang selalu menemani saya ke tempat kerja. Saya duduk selang beberapa kerusi daripada Puan Chang – satu-satunya guru berbangsa Cina di tempat kerja. Seperti biasa, saya melakukan sesuatu sementara menunggu perhimpunan dimulakan. Kali ini, saya mengeluarkan sebuah buku nipis, kemudian membelek-belek untuk dibaca sepintas lalu. Seorang guru lelaki menjeling, kemudian mencapai buku tersebut dan bertanya kepada saya,“ kau mahu berniaga?”
Saya menjawab teragak-agak, “ Tak. Saya suka membaca tentang pemikiran orang.”
Puan Chang terpandang kulit buku itu dan memberi isyarat supaya saya menghulurkan padanya. Dibacanya dengan tekun bahagian pendahuluan buku yang masih kelihatan baru itu. Ketika itu jugalah saya teringatkan kedainya yang berpintu kuning di simpang masuk ke kampong saya. Barangkali dia mahu mengetahui kaedah berniaga orang Cina daripada buku itu.
Selesai membaca, dia mengembalikan kepada saya sambil berkata: saya mahu pinjam selepas awak selesai membaca buku ini.
Saya menjawab, “ boleh.” Kemudian saya berkata dalam hati: orang Cina sendiri mungkin tak tahu rahsia mereka sendiri.
Saya tutup halaman buku tersebut dan membaca untuk entah kali ke berapa tajuknya – Rahsia Bisnes Orang Cina.

Rabu, 13 Mei 2009

Sebuah Stesen Kereta Api

(untuk teman-teman yang mahu aku menulis kembali di blog ini)

Dia memandang-mandang ke hujung landasan. Tidak ada tanda-tanda kereta api akan mampir. Yang ditemuinya hanyalah kelam malam, selebihnya ialah sunyi, walaupun dia sedar ada penumpang kereta api sedang bercakap di beberapa pojok stesen. Mengapakah aku berasa sepi? Adakah kerana suasana stesen kereta api ini atau hatiku? bisiknya. Tapi dia tak pasti bisikan itu untuk siapa.

Dia tunduk melihat garisan kuning sepanjang platform. Stesen kereta api ini sebetulnya memberi bakti yang tidak sedikit kepadanya dan seluruh warga daerah pedalamannya. Di stesen kereta api inilah, dia mengucup tangan ibunya sebelum berangkat ke kota untuk menyambung pengajian. Dia ke sana tanpa ditemani sesiapa. Yang ada hanyalah doa kedua orang tuanya supaya dia selamat menyelesaikan pengajian dan menjadi seseorang yang boleh berjasa. Tiga tahun dia di sana.

Hari ini dia kembali. Merenung dirinya sekitar sepuluh tahun lepas. Dia seperti melihat pemuda yang sedikit kurus yang berdiri di hujung platform - membiar-biarkan dingin malam merangkul tubuhnya dan angin mengibar-ngibarkan hujung rambut dan baju lusuhnya. Dialah pemuda itu. Ketika itu dia baru sahaja menyudahkan peperiksaan SPM. Jadi, untuk mengisi malam yang panjang di daerah pedalaman, begitulah rutinnya. Berjalan-jalan di sekitar kedai-kedai, kemudian ke stesen kereta api, dan akhirnya singgah di kedai kopi untuk mencicip pahit kopi sebelum menyerahkan diri pada rasa kantuk.

Dia masih ingat, dan sangat mengingati sifatnya. Di bangku sekolah, dia hanya memikirkan apa yang harus dilakukan pada hari ini dan esok. Paling jauh pun dia akan berkira-kira apakah yang akan dilakukan pada hari lusa. Apabila dia melanjutkan pelajaran di universiti, dia semakin mengerti betapa dia pada suatu waktu dahulu tak ubah seperti seorang eksistensialis. Hidup untuk hari ini dan saat ini, hari esok cerita lain. Yang penting hari ini dan sekarang, begitu dia pernah berfikir.

Tapi entah mengapa pada suatu hari, pandangannya tersihir pada seorang gadis. Disebabkan pada pandangan pada gadis itulah, dirinya telah mengalami perubahan dan dia semakin mengerti bahawa hidup adalah tanggungjawab. Dia mula sedar bahawa hidup bukan untuk hari ini, esok atau lusa, tapi lebih daripada itu.