Ahad, 21 Februari 2010

Sesudah Subuh

Dia keluar dari masjid sesudah membaca beberapa halaman al-Quran. Ada beberapa motosikal dan kereta melalui jalan di hadapan masjid. Barangkali pemandu kereta atau penunggang motosikal baru pulang dari bertugas pada waktu malam atau baru pulang dari meletakkan kuih untuk dijual di pasar. Di bahagian dapur rumah-rumah sekitar masjid yang kubahnya berbentuk bawang itu, cahaya lampu menerangi kegelapan. Barangkali perempuan-perempuan desa sibuk menyediakan sarapan buat anak-anak yang akan ke sekolah atau suami yang harus bekerja. Dia memilih untuk menyusuri jalan di pinggir sungai - menghirup udara pagi. Sesekali dia terdengar bunyi orang sedang menumis atau menggoreng atau perempuan menjerit membangunkan anak-anak. Dia dapat merasai keriuhan waktu pagi zaman kanak-kanak yang membuatkan dia tersenyum seorang diri. Demi memandang sungai yang derunya sedikit lemah kerana paras air menurun dek hujan tidak hadir lebih seminggu, dia seperti ditarik ke masa lalu. Dia seperti melihat dirinya yang berenang-renang dengan riang bersama kawan-kawan. Kemudian, ibunya akan melambai-lambai memintanya pulang untuk makan tengah hari. Alangkah seronoknya pada waktu itu, fikirnya.

Kemudian, sebelum berlalu untuk pulang ke terataknya, dia memandang ke arah hilir sungai. Matahari mula menggeliat, menyisihkan selimut kelam - perlahan-lahan - untuk menjemput hari baru.

Tiada ulasan: