Jumaat, 11 Julai 2008

Mengapa Nama Saya Zamzuri

Sepanjang pengetahuan saya, dalam kalangan adik-beradik saya, hanya nama saya yang tidak mempunyai makna; baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab. Saya cuba juga mencari makna dalam bahasa lain - tapi masih tak jumpa. Barangkali saya tidak begitu bersungguh. Serasa nama saya mempunyai makna dalam bahasa Itali, tapi entahlah. Apalah ada pada nama.

Saya pernah bertanya kepada emak tentang nama saya. Saya tanya,"kenapa berikan nama ZAMZURI kepada saya?" Emak hanya menjawab:"Habis, aku nak bubuh nama apa?" Saya memang tak berpuas hati dengan jawapan emak. Tapi, saya fikir itulah kali terakhir saya menanyakan tentang nama saya itu.

Ayah pernah bercerita, emak mahu menamakan saya dengan nama ZUZAMZURI, tetapi ketika proses mendaftar kelahiran saya, ayah terlupa suku kata pertama nama saya. Hasilnya nama saya ialah ZAMZURI.

Saudara harus bersyukur kerana dikurniai nama yang baik. Dan, saudara harus sedar betapa ibu bapa sauadara mahukan saudara berfiil perangai seperti nama yang diberi. Barangkali nama yang baik itu akan memberi semacam suatu kuasa yang boleh mempengaruhi kehidupan saudara.

Dan saudara juga harus bersyukur jika saudara juga berakhlak selaras dengan nama yang diberi.

Saya pula, dek kerana memiliki nama yang tidak mengandungi sebarang makna, terpaksa memperelokkan budi pekerti saya.

Ramai orang yang menyangka, dengan memberikan nama yang baik kepada seseorang anak, anak itu akan menjadi seorang yang baik dan soleh seperti namanya. Padahal kitalah yang mesti menjaga nama, bukan nama yang menjaga kita.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mengapa wanita selalu terpikat dengan kata-kata..
dunia akhir zaman ni..permata-permata yg gemilang malap-malap je kelihatan..
zamzuri... ok juga nama tu kedengaran seperti seorang cendiakawan(betul ke eja ni) yang terselindung di ceruk-ceruk tunas cendawan.;)