Selasa, 3 November 2009

Buku dan Perhimpunan Mingguan

Saya ke perhimpunan mingguan dengan membawa beg sandang kuning yang selalu menemani saya ke tempat kerja. Saya duduk selang beberapa kerusi daripada Puan Chang – satu-satunya guru berbangsa Cina di tempat kerja. Seperti biasa, saya melakukan sesuatu sementara menunggu perhimpunan dimulakan. Kali ini, saya mengeluarkan sebuah buku nipis, kemudian membelek-belek untuk dibaca sepintas lalu. Seorang guru lelaki menjeling, kemudian mencapai buku tersebut dan bertanya kepada saya,“ kau mahu berniaga?”
Saya menjawab teragak-agak, “ Tak. Saya suka membaca tentang pemikiran orang.”
Puan Chang terpandang kulit buku itu dan memberi isyarat supaya saya menghulurkan padanya. Dibacanya dengan tekun bahagian pendahuluan buku yang masih kelihatan baru itu. Ketika itu jugalah saya teringatkan kedainya yang berpintu kuning di simpang masuk ke kampong saya. Barangkali dia mahu mengetahui kaedah berniaga orang Cina daripada buku itu.
Selesai membaca, dia mengembalikan kepada saya sambil berkata: saya mahu pinjam selepas awak selesai membaca buku ini.
Saya menjawab, “ boleh.” Kemudian saya berkata dalam hati: orang Cina sendiri mungkin tak tahu rahsia mereka sendiri.
Saya tutup halaman buku tersebut dan membaca untuk entah kali ke berapa tajuknya – Rahsia Bisnes Orang Cina.

Rabu, 13 Mei 2009

Sebuah Stesen Kereta Api

(untuk teman-teman yang mahu aku menulis kembali di blog ini)

Dia memandang-mandang ke hujung landasan. Tidak ada tanda-tanda kereta api akan mampir. Yang ditemuinya hanyalah kelam malam, selebihnya ialah sunyi, walaupun dia sedar ada penumpang kereta api sedang bercakap di beberapa pojok stesen. Mengapakah aku berasa sepi? Adakah kerana suasana stesen kereta api ini atau hatiku? bisiknya. Tapi dia tak pasti bisikan itu untuk siapa.

Dia tunduk melihat garisan kuning sepanjang platform. Stesen kereta api ini sebetulnya memberi bakti yang tidak sedikit kepadanya dan seluruh warga daerah pedalamannya. Di stesen kereta api inilah, dia mengucup tangan ibunya sebelum berangkat ke kota untuk menyambung pengajian. Dia ke sana tanpa ditemani sesiapa. Yang ada hanyalah doa kedua orang tuanya supaya dia selamat menyelesaikan pengajian dan menjadi seseorang yang boleh berjasa. Tiga tahun dia di sana.

Hari ini dia kembali. Merenung dirinya sekitar sepuluh tahun lepas. Dia seperti melihat pemuda yang sedikit kurus yang berdiri di hujung platform - membiar-biarkan dingin malam merangkul tubuhnya dan angin mengibar-ngibarkan hujung rambut dan baju lusuhnya. Dialah pemuda itu. Ketika itu dia baru sahaja menyudahkan peperiksaan SPM. Jadi, untuk mengisi malam yang panjang di daerah pedalaman, begitulah rutinnya. Berjalan-jalan di sekitar kedai-kedai, kemudian ke stesen kereta api, dan akhirnya singgah di kedai kopi untuk mencicip pahit kopi sebelum menyerahkan diri pada rasa kantuk.

Dia masih ingat, dan sangat mengingati sifatnya. Di bangku sekolah, dia hanya memikirkan apa yang harus dilakukan pada hari ini dan esok. Paling jauh pun dia akan berkira-kira apakah yang akan dilakukan pada hari lusa. Apabila dia melanjutkan pelajaran di universiti, dia semakin mengerti betapa dia pada suatu waktu dahulu tak ubah seperti seorang eksistensialis. Hidup untuk hari ini dan saat ini, hari esok cerita lain. Yang penting hari ini dan sekarang, begitu dia pernah berfikir.

Tapi entah mengapa pada suatu hari, pandangannya tersihir pada seorang gadis. Disebabkan pada pandangan pada gadis itulah, dirinya telah mengalami perubahan dan dia semakin mengerti bahawa hidup adalah tanggungjawab. Dia mula sedar bahawa hidup bukan untuk hari ini, esok atau lusa, tapi lebih daripada itu.