Rabu, 19 November 2008

Pasar Besar Tanah Merah: Suatu Kisah Lelaki

Aku baru tiba di Stesen Kereta Api Tanah Merah dari Gua Musang. Melilau-lilau mencari surau untuk solat zohor. Terasa segar apabila air menyentuh kulit. Aku solat seorang diri. Kemudian, aku menyeberangi jalan raya untuk ke Pasar Besar Tanah Merah. Perut sudah minta diisi. Kali ini dengan makanan berat. Ah ha, sup kuetiau amat sesuai pada kali ini. Keadaan pasar agak lengang. Barangkali orang sudah mula masuk bekerja dan waktu makan tengah hari bagi yang bekerja di pejabat sudah tamat. Aku memilih sebuah gerai yang agak terbuka kedudukannya, supaya dapatlah kiranya aku menghirup udara yang lebih segar.

Makanan yang kupesan cepat disiapkan, aku kira. Wah, wap panas dari sup melenggang-lenggang, menambahkan lagi selera aku. Beg galasku aku letakkan di atas sebuah kerusi. Dan, selepas memerah potongan limau nipis, aku menyuap kuetiau tanpa segan silu. Buat apa nak malu, kakak yang masak sup untuk aku pun tahu aku baru tiba dari tempat jauh. Tentu lapar. Sambil makan, aku menikmati panorama bandar Tanah Merah dari atas pasar.

"Kau 'nak buat apa lepas 'ni?" Jelas sekali suara dari sebelahku. Oh, rupa-rupanya ada dua orang lelaki sedang berbual sambil minum teh 'O' ais. Seorang misainya agak lebat dan seorang lelaki rambutnya sedikit panjang dan hampir-hampir terlindung lubang telinganya kerana tidak dirapikan.

Lelaki yang berambut panjang tersenyum kepadaku apabila aku memerhatikan mereka, kemudian berpaling ke arah lelaki bermisai tebal dan berkata,"Saya mahu berniaga. Berniaga kecil. Modal pun kecil."

"Maksud kau...."

"Saya nak jadi peniaga di tepi jalan atau di pasar malam,"

"Bagus, aku setuju."

"Tapi bang, ada masalah sikit."

"Masalah apa?"

"Budak perempuan yang saya berhajat nak jadikan bini saya, tak suka kalau saya jadi peniaga jalanan."

"Kenapa pulak?"

"Yalah. Saya kan lulusan U? Baginya bukan standard saya berniaga di tepi jalan atau pasar malam."

"Eh, dia seorang sahaja ke atau mak bapak dia pun tak suka kau jadi peniaga jalanan?"

"Mak bapak dia pun tak suka."

"Orang tua kolot!" Lelaki bermisai tebal itu separuh menjerit. Saya menoleh ke arahnya sambil menggenyeh-genyehkan hidung. Hish, siapa pula bubuh belacan dalam sup aku ni, bisikku.

Aku selesai menghilangkan rasa laparku. Sebelum minum air, seperti biasa aku akan sedikit masa kerana aku mengikut pesan Datuk Ismail Kamus: ambil sedikit masa sebelum minum selepas makan. Baik untuk kesihatan. Aku membuka beg galasku dan sebuah buku kumpulan cerpen Anwar Ridhwan yang berjudul Dunia adalah Sebuah Apartmen kubelek. Aku memilih untuk membaca cerpen 'Dalam Kabus'. Kisahnya seputar lelaki yang bekerja di lombong bahan galian yang berharga. Asalnya dia merupakan seorang nelayan di pantai. Ketika dia menjadi nelayan, dia tertarik mahu ke lombong kerana pekerjaan di sana lebih menjanjikan. Ketika mendapat tahu akan hasratnya itu, teman-temannya mengusiknya dengan menceritakan tentang kisah seorang lelaki dan seorang puteri. Ah, cerpen Anwar Ridhwan ada cerita dalam cerita. Ringkasnya, tentang harapan untuk kehidupan yang lebih baik. Harapan menjadikan kita sanggup menunggu kerana di hujung penantian kita meyakini ada sesuatu yang amat nikmat akan kita peroleh.

"Adakah itu cita-citamu sejak kecil? Maksud aku, nak meniaga,"lelaki bermisai tebal bertanya kepada pemuda yang berambut panjang yang tidak bersikat, sambil menyuap sepotong pisang goreng. Aku tenggelam dalam cerpen yang kubaca sehingga tidak sedar bahawa mereka memesan sepiring pisang goreng yang dicurahkan sos di atasnya.

"Ya."

"Habis tu. Apa masalahnya? Teruskanlah dengan cita-citamu itu."

"Gadis yang saya nak buat bini tu, macam mana?"

"Macam mana mancam mananya? Tak usah pedulikan larangannya. Hei, kalau ada 10 budak muda macam kau yang tunduk tak tahu hujung pangkal hanya kerana perempuan yang dicintai, bagaimana ekonomi kita nak maju? Kau mesti yakinkan dia bahawa apa yang kaubuat adalah benda yang baik."

"Susah tu," lelaki berambut panjang bernada pesimis.

"Cuba dulu, sungguh-sungguh. Insya Allah, dia akan faham. Memang lelaki sukar untuk membuat keputusan apabila telah dimagnet dengan tarikan perempuan, tapi kita perlu cuba untuk berwaras dalam semua keadaan," perlahan-lahan lelaki yang bermisai tebal menuturkan. Seorang peniaga menyapanya dengan memanggilnya sebagai Deris.

"Min, kita hidup ni bukan untuk perempuan yang kita cinta sahaja. Kita ada masyarakat yang menagih sejuta tenaga kita. Kita ada bangsa yang harus diletakkan pada tempatnya. Paling penting, kita ada agama untuk ditegakkan."

"Kalaulah keputusanmu memang tetap mahu berniaga, dan perempuan itu memutuskan untuk tidak menjadi isterimu, anggaplah semua itu dugaan. Tidak ada satu pun perjuangan tanpa pengorbanan."

Aku membayar makananku, lagipun penjual sup sudah mula mengemas-ngemas premisnya. Aku turun dari Pasar Besar Tanah Merah, mencari-cari teksi sapu. Aku mudah sahaja dapat menaiki sebuah kereta Datsun berwarna merah (tali pinggang keledarnya sudah rosak).

"Saya mau ke Bukit Merah," beritahuku pada pemandu. Aku tersenyum, kemudian menambah,"mahu melawat bapa saudara." Dia membelokkan kenderaannya ke suatu jalan untuk keluar dari bandar Tanah Merah. Bunyi enjinnya sedikit mengerikan, tapi aku senang dengan bunyi sebegitu - mengingatkan betapa aku juga akan menjadi tua.

Ketika aku meninggalkan bandar itu, matahari mula mengurangkan terik cahayanya sambil bertenggek di hujung pohon-pohon di bahagian barat kawasan bandar yang membangun itu. Dan, aku terdengar sayup-sayup suara azan dari sebuah masjid - lembut dan damai.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menarik... lelaki susah untuk buat keputusan apabila ada unsur "magnet"- hasyrie

syuhadah dzarawi berkata...

'Memang lelaki sukar untuk membuat keputusan apabila telah dimagnet dengan tarikan perempuan'

kenapa saya harus bersetuju dengan aYat ini? sedangkan;

"Min, kita hidup ni bukan untuk perempuan yang kita cinta sahaja. Kita ada masyarakat yang menagih sejuta tenaga kita. Kita ada bangsa yang harus diletakkan pada tempatnya. Paling penting, kita ada agama untuk ditegakkan."

abang zam, cinTa tu apa?? nGee~

Tanpa Nama berkata...

Satu bentuk pelarian diri penulis ke cerblog (cerpin blog).. siapa gerangannya wanita yg tak izinkan itu, sehingga sipenulis masih membujang sehingga kini? Persoalan demi persoalan mencurah-curah ke sereberum ku (eh mcm cerpen plk).. dari:warga RV yg masih bujang tanpa ada cita2 utk berniaga.

Hasmora berkata...

salam.. saudara.. seperti selalunya.. anda dan hamba hanya pengembara.. dan hamba saudara... masih seorang meniti kembara ini.. bak kata pakcik husin ... wow, jual orang lebih untung dari jual unta (--) (tiada kaitan langsung dgn komen aku nih) kekeke...

Tanpa Nama berkata...

salam. cikgu, dah tak mengajar di pendita lagi ke ?
buat apa sekarang ni ?

Wardatul Syauqi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

Untuk pengetahuan semua, bandar tanah merah mmg lawa =)

Tanpa Nama berkata...

Tanah Merah ni makin lamo dia makin world!

Baca catatan demo mace..baca cerpen lah pulok!

Hidop memang mace tu..untuk berjaya keno berani ambik risiko!

Hasmora berkata...

Entri ambo berkaitan dgn saudara pengarang blok ini.. sila ke blog ambo... hehehe

Hasmora berkata...

salam..
hahahaha...
rilek bro..
buleh internet ko ulu jerek?

Tanpa Nama berkata...

Menulis tulisan nta mengingatkan ana kepada nostalgia ana membaca cerpen ketika sekolah menengah dulu, masa tu jiwa ana jiwa sastera jugok kalih, minat baca novel dan cerpen. Cerita ni dah macam satu cerpen ana baca, gaya bahasanya sama dengan cerpen yang ana baca masa sekolah menengah dulu. :)

Eh, nta langsung tak jenguk portal kita masa nta dapat online, jenguklah dan hantarlah apa2 yg patut di ruangan forum tu deh.

Susah susah ana buat, nta tak jenguk pun, sedih ana

- tak perlu approve - just utk nta baca sorang je