Sabtu, 6 September 2008

S.M. ZAKIR SEBAGAI PENGARANG OKSIDENTALIS: SATU KAJIAN KE ATAS TIGA BUAH CERPEN

oleh Mohd Zamzuri bin Mustapha

Pendahuluan

Dunia kesusasteraan diserikan dan dirancakkan oleh suatu konsep baharu, iaitu pascakolonial yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peneliti sastera, sejak istilah tersebut muncul seputar lima dekad lalu. Pascakolonial telah meruntuhkan tembok agam kesusasteraan yang selama ini semacam memberikan ruang yang tidak terbatas kepada Barat untuk melakukan wacana, tanpa mengizinkan dunia selain Barat untuk tampil dengan wacananya sendiri.

Kajian ini akan menganalisis cerpen-cerpen S.M. Zakir dalam konteks bacaan pascakolonial, iaitu suatu bacaan yang memiliki ciri-ciri diskursif, mempunyai bentuk-bentuk representasi seperti perlambangan, imej dan sebagainya. Peribadi pascakolonialisme yang dimaksudkan ialah sikap dan pendirian yang memencarkan respons pascakolonial, sama ada secara eksplisit mahupun implisit. Sebagai pengarang yang lahir selepas kemerdekaan, S.M. Zakir dihadapkan dengan masyarakat yang hidup selepas era kolonialisme tamat. Keadaan masyarakat yang masih melekit dengan sisa tinggalan kolonialisme tentulah memberikan ruang kepadanya untuk dijadikan subjek dalam karya kreatifnya.

Dalam dunia pencerpenan, S.M. Zakir memiliki sikap dan pendirian serta pandangannya yang memaparkan sikap pascakolonialismenya, dan beliau menempatkan dirinya sebagai pengarang oksidentalis, yakni pewacana Barat serta hegemoninya. Dalam upaya meneliti ideanya, tiga cerpen beliau akan dikaji dan dibahagikan kepada tajuk-tajuk seperti ”Wacana Oksidentalisme”, ”Hikayat Lelaki dan Pulau: Kelemahan Sistem Bikinan Barat”, ”Moluska: Krisis Identiti Peribumi” dan ”Lelaki Bersayap Putih: Permasalahan Bahasa Kebangsaan”.

Wacana Oksidentalisme

Oksiden bermakna “dunia belahan barat”, dan secara etnologis bermakna “bangsa-bangsa di barat”. Daripada kata akar itu, telah berkembang satu istilah dalam kajian pascakolonial, iaitu oksidentalisme, iaitu suatu wacana yang memperihalkan dunia Barat. Oksidentalisme juga disebut dengan berbagai-bagai nama, contohnya westernism, orientalisme in reverse (orientalisme terbalik), dan europhology (ilmu tentang Eropah). Hassan Hanafi memperincikan gagasan oksidentalisme sebagai satu anjuran pegangan untuk umat Islam, atau negara Islam bagi mendepani hegemoni Barat dalam konteks budaya, politik, dan kenegaraan (Hassan Hanafi, 1993). Hassan Hanafi menghuraikan permasalahan dikotomi antara Barat dengan Timur dan konsep oksidentalisme melalui pendekatan historikal dan teoretikal (Mohamad Saleeh Rahamad 2007: 171-202).

Disebabkan gagasan oksidentalisme ini bersifat teori bacaan (theory of reading), penemuannya tentulah bervariasi: ada yang bersifat antikolonialisme dan antiimperialisme, dan ada pula yang pro-Barat. Kesemua penemuan tersebut berkait rapat dengan keadaan masyarakat yang melatari penulisan sesuatu karya dan kecenderungan pengarangnya. Hal ini demikian kerana belum ada satu kajian yang bersifat teoretikal, sebagaimana yang dilakukan oleh Edward Said dalam upayanya mencirikan Orientalisme. Jika ada pun kajian, fokusnya hanya terbatas kepada hasil karya daripada negara atau golongan pengarang tertentu (Mohamad Saleeh Rahamad, 2007: 171-202).

Menurut Hassan Hanafi, tugas oksidentalisme ialah menguraikan sejarah hubungan non-Eropah dengan Eropah, menumbangkan keagungan Eropah dengan menjadikannya sebagai objek yang dikaji, dan menghapuskan perasaan rendah diri non-Eropah (Timur) dengan menjadikannya sebagai subjek pengkaji. Dengan kata lain, oksidentalisme menghilangkan rasa tidak percaya diri atau inferiority complex di hadapan Barat dalam soal kebudayaan, bahasa, ilmu pengetahuan, teori, mazhab, dan pendapat, dan selanjutnya menimbulkan rasa tinggi diri (megah pada diri sendiri) atau superiority complex . Secara ilusif, rasa rendah diri berubah menjadi super, seperti yang berlaku di Iran tatkala rejim Shah yang disokong oleh Barat ditamatkan oleh Ayatollah Khomeini yang membawa tradisi Islam fundamental. Rasa super (kehebatan diri) yang muncul secara ilusif itu bertitik tolak daripada reaksi terhadap superioriti kebudayaan Barat yang berkecenderungan rasialisme secara eksplisit mahupun implisit.

Bagi Hassan Hanafi, oksidentalisme ialah wajah lain bahkan berlawanan dengan Orientalisme tetapi bukanlah bertentangan secara keseluruhannya dengan Orientalisme. Oksidentalisme bikinannya tidak bertujuan melakukan pembalikan secara total kepada Orientalisme. Orientalisme bersifat tidak neutral dan berfungsi sebagai alat imperialisme, mengekalkan kuasa hegemoni walaupun selepas berlalunya era penjajahan politik dan ketenteraan, manakala oksidentalisme hanya bertujuan membebaskan diri daripada pengaruh pihak lain supaya wujud kesetaraan antara al-ana (dunia Islam dan Timur) dengan al-akhar (dunia Eropah dan Barat) (Hassan Hanafi, 1999: xvii & xix).
Dalam konteks kembali kepada realiti semasa, Hassan Hanafi menyenaraikan cabaran yang berikut (Hassan Hanafi, 1999: 21):

i. membebaskan tanah air atau watan daripada serangan luaran kolonialisme dan Zionisme;
ii. kebebasan universal melawan dominasi, penindasan, dan kediktatoran dari dalam;
iii. keadilan sosial menghadapi jurang perbezaan yang lebar antara golongan kaya dengan golongan miskin;
iv. persatuan mendepani perpecahan dan diaspora;
v. pertumbuhan melawan keterbelakangan politik, sosial, ekonomi, dan budaya;
vi. identiti diri menghadapi pembaratan (westernisasi) dan kepengikutan; dan
vii. mobilisasi kekuatan massa melawan apatisme (sikap tidak peduli).

Hassan Hanafi menegaskan bahawa Barat tidak lagi perlu dikagumi, kerana selagi Barat masih menjadi sumber pengetahuan dan rujukan dalam melakukan penilaian atau penghakiman dan pemahaman, umat Islam tetap akan menjadi golongan bawahan yang memerlukan pelindung.

Sebagai projek untuk mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam, Hassan Hanafi mencadangkan satu revolusi moden; membebaskan umat Islam daripada kesalahan; menyempurnakan kemerdekaan; serta beralih daripada kemerdekaan ketenteraan kepada kemerdekaan politik, ekonomi, kebudayaan, dan peradaban.

Gagasan Hassan Hanafi ini nyata bersifat teori penghasilan (theory of production), iaitu satu anjuran revolusi mental yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam/ Timur untuk berhadapan dengan Barat. Beliau menyarankan kaedah untuk melihat Barat dengan cara melihat diri sendiri terlebih dahulu (yang sebenarnya mempunyai sejarah gemilang) sebelum menanggapi Barat dengan cara yang neutral. Jika ini diterapkan dalam sastera, akan terhasillah wacana oksidentalisme yang membawa obor untuk menerangi peradaban sendiri bagi memenuhi matlamatnya, iaitu mengeluarkan umat Islam daripada kegelapan. Maksudnya, karya sastera berwacana oksidentalisme menurut gagasan Hassan Hanafi akan melakukan usaha dekolonisasi dan mengembalikan jati diri sendiri yang berakar daripada kegemilangan tradisi (Mohamad Saleeh Rahamad 2007: 171-202).

Dengan landasan ini, wacana oksidentalisme bikinan S.M. Zakir akan dianalisis. Pembikinan wacana tersebut terungkap dalam banyak cerpen mutakhirnya, tetapi bagi tujuan kajian ini hanya tiga cerpen akan difokuskan. Pemilihan cerpen-cerpen ini beralasan kerana kesemuanya mengkhusus kepada pernyataan sikap pengarang terhadap idea Barat dan kuasa hegemoninya.

'Hikayat Lelaki dan Pulau': Kelemahan Sistem Bikinan Barat

Cerpen ini menemukan dua watak utama iaitu Shariar dan Sharazad yang merupakan pasangan kekasih. Nama-nama watak berkenaan menyerupai nama watak dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang dihasilkan oleh Nizami, pengarang dari Timur. Secara implisit, S.M. Zakir menggunakan peribadi manusia Timur/ Islam untuk mengetengahkan pemikirannya sebagai pengarang pascakolonial. Melalui teknik pemusatan idea, S.M. Zakir membentangkan hujah-hujah yang memaparkan bagaimana Barat dan sistem yang diciptanya telah menjungkirbalikkan atau menghuru-harakan dunia. S.M. Zakir melalui watak Sharazad mengajak khalayak berfikir mengenai masalah yang menimpa dunia pada masa ini, seperti di dalam petikan di bawah:

Kata Sharazad; kesaksamaan dan keadilan untuk manusia tidak akan wujud jika sebahagian manusia terus bekerja mencurinya untuk mereka. Dia melihat ombak laut bergulung di celah kegawung senja yang semakin larut.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Bagi S.M. Zakir, sebahagian manusia yang mencurinya merupakan kelompok kapitalis yang membina sistem dan mempromosikan sistem itu kepada negara lain. Bertitik tolak daripada premis bahawa tidak akan wujud kesaksamaan dan keadilan untuk semua manusia lantaran sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di dunia pada hari ini, S.M. Zakir melakukan wacana oksidentalisme dalam melakukan dekolonisasi terhadap hegemoni Barat.

Kata Sharazad; dunia sekarang menjadi abdi kepada sistem yang dicipta oleh dan untuk segelintir manusia menjadi tuan yang maha agung. Sistem ini memberi sejenis nilai yang diwakilkan kepada sehelai kertas. Nilai ini kemudiannya menjadi pusat kepada segala kegiatan ekonomi manusia. Anehnya nilai ini kemudian mempunyai kuasa syaitan yang berkembang untuk mengikat manusia di dalam lingkaran apinya yang ganas sehingga semua manusia tenggelam di dalamnya. Dia melihat pasir-pasir putih menjadi kapas yang melayang ke langit.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Daripada petikan di atas, S.M. Zakir menyatakan bahawa sistem ekonomi ciptaan Barat, walaupun menawarkan harapan kepada manusia dalam menyusun kehidupan mereka, hakikatnya telah menyebabkan manusia sengsara akibat penggunaan wang kertas yang boleh dimanipulasikan oleh para pemodal.

Seterusnya, S.M. Zakir menempelak golongan kapitalis atau pemodal yang pada peringkat awal kononnya memberikan harapan baharu kepada dunia melalui mekanisme sistem kapitalisme. Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan secara individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kapitalisme). Demi memenuhi keserakahan nafsu yang tidak pernah puas, golongan kapitalis melakukan pelbagai kerosakan demi mencapai cita-cita mereka.

Kata Sharazad; golongan pemodal kini bukan lagi menjadi raja tetapi menjadi dewa-dewa Olympus yang menentukan bagaimana dunia ini harus diterbalikkan. Mereka mencipta perang, kebencian antara umat manusia, kehuruharaan, kebuluran dan kemiskinan yang semua ini akan menentukan mereka dapat hidup terus sebagai dewa-dewa yang mencatur kehidupan manusia di bumi. Dia melihat camar-camar laut bertukar menjadi malaikat-malaikat yang melemparkan batu-batu api ke atas manusia-manusia yang ingin menjadi dewa.
(Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib)

Kemudian S.M. Zakir menyatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis menjadi semakin 'baik' apabila kehidupan manusia bertukar menjadi sebuah masyarakat yang sekular, iaitu masyarakat yang memisahkan segala tindak- tanduk daripada pantauan Tuhan. Mereka bebas membelakangkan Tuhan dalam segala aspek kehidupan, sama ada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

(Petikan dari kertas kajian yang berjudul S.M. ZAKIR SEBAGAI PENGARANG OKSIDENTALIS: SATU KAJIAN KE ATAS TIGA BUAH CERPEN. Kertas kajian ini dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 29 Ogos 2008)

Tiada ulasan: