Sabtu, 6 September 2008

Akademi Sastera lahirkan pengkritik pelapis

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

JIKA dunia hiburan mempunyai pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia (AF) dan Akademi Nasyid, bidang kesusasteraan tanah air juga mempunyai akademinya sendiri bagi melahirkan karyawan-karyawan sastera.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

misalnya, telah menganjurkan pertandingan Akademi Sastera (AS) bagi menyemarakkan semula dunia kesusasteraan tempatan yang dikatakan semakin lesu.

Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz berkata, apa yang lebih penting beliau berharap agar AS dapat melahirkan karyawan-karyawan pelapis dalam bidang kritikan sastera dalam genre novel, cerpen, puisi dan drama pada masa depan.

Menurutnya, menerusi pertandingan yang julung kalinya diadakan itu, format yang diperkenalkan dalam AS tidak jauh beza seperti program-program realiti televisyen (TV) di mana ia menyediakan mentor, pengkritik dan juga juri profesional.

Menerusi AS, para peserta bukan sahaja mengemukakan kertas kerja hasil kritikan sastera yang mereka tampilkan, tetapi para penonton juga dibenarkan bertanya soalan kepada para peserta.

“Cuma bezanya AS bertujuan melahirkan golongan karyawan sasterawan pelapis yang berwibawa pada masa depan. Idea pertandingan ini muncul selepas kami melihat perkembangan yang berlaku sekarang ini di mana sastera semakin dipinggirkan.

“Ekoran semakin banyak program TV realiti seperti AF, DBP rasa terpanggil untuk memikirkan suatu kaedah bagaimana untuk memasarkan produk-produk sastera. Itu antara sebab kami wujudkan AS,” katanya pada pertandingan akhir AS di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada AS musim pertama, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Zarif Hassan muncul juara pertamanya menerusi kajian serta kritikannya berjudul Konseptual Shahnon Ahmad Terhadap Kemungkaran Melalui Tivi: Satu Analisis Berdasarkan Konseptual Kata Kunci.

Dengan kemenangan itu, beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Izzah Abdul Aziz.

Tempat kedua dimenangi oleh Zamzuri Mustapha dari Universiti Malaya (UM) menerusi kritikannya bertajuk S.M. Zakir Sebagai Pengarang Oksidentalis: Satu Kajian Ke Atas Tiga Buah Cerpen dan menggondol hadiah wang tunai RM700 dan sijil.

Tempat ketiga dimenangi oleh Rosnani Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui kritikannya berjudul Puitika Dalam Syair Perang Makasar dan membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil.

Sementara itu, Bop Abdul Gapor dari UKM (Novel Kawin-Kawin: Analisis Semiotik) dan Siti Nadia Hamnain dari UM (Sangeetha: Kepikunan Mengheret Keterpinggiran Dan Penindasan) masing-masing menerima hadiah sagu hati wang tunai RM300 dan sijil penyertaan.

Pada pertandingan anjuran bersama DBP, UM, UKM dan UPM itu, setiap peserta akan diberi tunjuk ajar oleh tiga mentor iaitu Mohamad Saleeh Rahamad, Naffi Mat dan Che Abdullah Che Ya selain menerima kritikan daripada Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Mohamad Daud Mohamad ketika setiap peserta membentangkan kritikan sastera mereka.

AS yang bertemakan Pembinaan Kritikan Sastera dan Modal Insan Berketerampilan itu juga membariskan tiga juri iaitu Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (UM), Prof. Madya Dr. Hanapi Dollah (UKM) dan Dr. Kamariah Kamarudin (UPM).

Jelas Izzah, AS musim kedua akan diteruskan pada tahun depan di mana selepas ini DBP bercadang untuk memperluaskan lagi pertandingan itu untuk tontonan khalayak yang lebih besar.

“Kami mungkin akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana stesen TV yang berminat bagi menyiarkan rancangan ini di saluran mereka. Kalau boleh kami mahu pertandingan ini bukan sahaja diikuti oleh para pelajar universiti tetapi juga di luar kampur.

“Bagi menambah penyertaan, kami juga akan membukan pertandingan ini kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta pada masa depan. Cara ini mungkin boleh mempopularkan lagi bidang sastera di negara ini,” ujarnya.

Biarpun baru kali pertama dianjurkan tetapi AS dilihat berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang kritikan sastera meliputi teori Feminisme, Takmilah, Persuratan Baru, Hegemoni, Kata Kunci, Pengkaedahan Melayu, Kajian Budaya dan Historisisme.

Perkara itu diakui oleh Ketua Juri AS, Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan yang berpendapat calon-calon yang bertanding kali ini menampilkan kritikan-kritikan sastera yang boleh dibanggakan biarpun mereka masih bergelar mahasiswa.

“Sukar untuk kami mencari pemenang pertandingan peringkat akhir ini kerana kebanyakan mereka membentangkan kertas kerja yang rapi dan teliti di mana ia lebih baik berbanding peringkat saringan.

“Cuma ada beberapa perkara yang harus diperbaiki iaitu daripada sudut penyediaan kertas kerja yang sedikit kurang konsisten, konsep definasi sesuatu kritikan yang kurang jelas kerana ia boleh menganggu analisis serta huraian fakta yang tidak dikaitkan dengan analisis,” komennya.

Kajian dan pemilihan teks dalam kritikan AS terbuka kepada sastera Melayu di mana format pemarkahan adalah 40 peratus untuk pembentangan teks dan 60 peratus markah diberi semasa sesi pembentangan.

(Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm)

Tiada ulasan: