Khamis, 11 Mac 2010

Teringat kata-kata Shahnon Ahmad

Saya tergesa-gesa keluar dari rumah kerana waktu untuk melapor diri sudah tiba, sedangkan saya masih lagi berkain pelikat dan berkopiah pulang dari satu majlis di rumah jiran di blok berhampiran.(Saya lupa majlis apa, tapi yang penting ada makan-makan). Barangkali mentor saya sedang menunggu di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ya, mentor saya beberapa kali menelefon bertanya di mana saya berada.

Dalam kekalutan untuk ke Menara DBP, saya capai apa yang saya fikirkan patut saya bawa. Beberapa helai pakaian dan alat tulis. Ketika menuju ke mostosikal buruk saya, saya hanya fikirkan mahu cepat sampai di sana. Barangkali mentor saya dan penganjur sudah bising-bising kerana kelewatan saya. Setelah meletakkan beg galas di dalam raga motosikal, saya cuba menghidupkan enjin motosikal, tetapi saya terdiam seketika apabila terpandang selipar yang saya sarung. 'Ya Allah, buruknya selipar aku. Macam ni nak pergi ke DBP?' saya menyoal dalam hati. Tapi entah bagaimana saya teringat kepada kata-kata Shahnon Ahmad dalam 'Gubahan Novel'. Katanya, seseorang penulis itu dinilai daripada apa yang ditulisnya, bukannya pada pakaian dan penampilannya. Serta-merta saya tidak berasa tidak bersalah dengan memakai selipar buruk. Kata-kata Shahnon itu saya bawa sepanjang program itu berlangsung. Banyak pengalaman yang saya dapat hasil bimbingan daripada mentor saya - Mohamad Saleeh Rahamad - tentang penulisan dan pembentangan kritikan sastera. Dan saya berasa amat bertuah dan seronok kerana dapat belajar banyak perkara baru, selain menambah kenalan yang meminati sastera. Salah seorangnya Zarif Hassan.

Dan Alhamdulillah, saya mendapat naib johan Akademi Sastera 2008 yang julung-julung kali dianjurkan oleh DBP. Hadiah kemenangan itu saya bahagikan kepada tiga - satu pertiga saya berikan kepada ibu, satu pertiga untuk menjamu kawan-kawan, dan satu pertiga untuk saya sendiri.

3 ulasan:

Zarif Hassan berkata...

Salam Zam,

Aku masih ingat saat kau cakap tentang perkara ini. Sekarang, aku cuba mengulanginya lagi dalam kenangan yang panjang...

syuhadah dzarawi berkata...

tahniah abang zam! hehe... tak belanja saya pun.

bila nak tulis buku?

Tanpa Nama berkata...

Zarif, suka betul baca ayat terakhirmu. Kau sangat berbakat!

Syud, kenapa tak beritahu suruh belanja? Hahaha. Insya Allah, lain kali.

[zamzuri]