Selasa, 30 Mac 2010

"Kau tetap seperti usia 25 tahun walaupun usiamu 60 tahun."

Tiket bas ke Kuala Lumpur sudah habis. Tapi, saya harus segera ke Kuala Lumpur kerana esok ada urusan penting. Saya terpaksa menaiki teksi ke Kuala Lipis terlebih dahulu jika mahu segera ke sana. Sebelum bertolak, saya meminta seorang teman menjemput saya di Stesen Bas Jalan Pekeliling.

Sesudah melalui kawasan berbukit-bukau yang ditumbuhi hutan, kelapa sawit, getah dan belukar serta dihiasi dengan sungai-sungai jernih, akhirnya saya tiba di Stesen Bas Kuala Lipis. Stesen bas ini baru dibina, dan letaknya di Bandar Baru Kuala Lipis. Di sekitarnya terbina deretan rumah kedai. Sebenarnya, saya mampir di Kuala Lipis sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Jam sudah masuk pukul 4:30 petang setibanya saya mencecahkan kaki di bumi Kuala Lipis. Saya meluru ke sebuah kaunter tiket bertanyakan perjalanan ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, pukul 5:30 petang ada bas ke Kuala Lumpur melalui jalan lama Kuala Lipis - Raub. Wah, ini suatu pengalaman baru.

Sementara menunggu ketibaan bas, saya meninjau-ninjau sekitar stesen bas. Akhbar dan majalah yang dipamerkan tidak menarik minat saya untuk membelinya. Bersebelahan stesen bas, ada sebuah medan selera. Seperti suasana di stesen bas, keadaan di situ juga lengang. Beberapa lelaki sesekali ketawa ketika berbual-bual. Daripada loghat mereka, mereka orang Pahang.

Saya melihat dua orang India -seorang lelaki dan seorang perempuan - sedang bersembang. Tidak jauh dari saya, seorang perempuan tua seperti menunggu seseorang. Di hadapannya, kelihatan seorang lelaki dan seorang gadis sedang berbual-bual.

"Saya akan bertunang, kemudian kahwin. Dalam tahun ini juga," jelas sekali suara gadis berbaju kurung itu. Lelaki yang duduk selang dua buah kerusi darinya sedikit terkejut.

"Wah, budak perempuan yang aku selalu usik waktu mengaji di rumah Imam Mat sekarang 'dah 'nak kahwin. Bagus." Lelaki itu tubuhnya kurus, tampak gembira dengan pengumuman gadis bertudung coklat itu. Barangkali mereka dari kampung yang sama.

"Abang pula, bila 'nak kahwin? Umur 'dah 'nak masuk 30 puluh," entah mengapa, aku turut merasakan soalan itu juga ditujukan untukku.

"Errr. Eerr," lelaki itu menggaru-garu cuping telinganya. "Tak semua lelaki kacak macam aku kahwin pada usia yang muda. Ada beberapa perkara lagi yang perlu aku buat sebelum berkahwin. Rasanya tak perlu aku beritahu."

"Berilah nasihat atau apa-apa yang boleh saya pakai sebagai persiapan sebelum berumah tangga." Dengan wajah yang berseri-seri, gadis itu mengharapkan sesuatu nasihat dari lelaki itu.

"Hei, aku tak kahwin lagilah. Kau mintalah nasihat dari Datuk Fadzilah Kamsah."

Perempuan itu mencebik bibirnya, lelaki itu terkekeh-kekeh.

"Amboi, bakal pengantin ni! Tak sabar-sabar nampaknya." Dari raut wajahnya, lelaki itu juga tumpang gembira. Lelaki itu diam seketika, kemudian menggaru-garu cuping telinganya.

"Kalau kaumau suamimu seorang yang setia, er maksud aku ialah suamimu tak akan pandang perempuan lain selainmu, atau senang cakap suamimu tak akan tergoda dengan perempuan lain. Kunci utamanya terletak pada dirimu."

"Eh, kenapa pula!" perempuan itu kehairanan.

"Kau yang membuat pilihan dengan siapa kauberkahwin."

"Maksud abang?"

"Begini," lelaki itu membetulkan duduknya." Seorang suami yang hanya memandang isterinya, tidak akan sedar akan perubahan fizikal isterinya. Hal ini kerana setiap hari melihat wajah isterinya, dia tidak sedar akan perubahan yang berlaku pada diri isterinya kerana perubahan itu berlaku secara beransur-ansur."

Perempuan itu cuba memahami butir percakapan lelaki berambut lurus itu. Rambut lelaki itu terenjut-enjut diusap angin lembap."Katakanlah kauberpisah dengan temanmu. Sekian lama tak bertemu, akhirnya kalian bertemu dalam sebuah majlis. Maka, akan ada komen-komen seperti kau semakin tembamlah, kau semakin kuruslah dan macam-macam lagi. Komen-komen sebegitu lahir kerana adanya perbandingan antara kau pada masa lalu dan kau pada masa sekarang. Dalam memori mereka, kau begitu. Apabila bertemu, kau begini kerana dalam memori mereka, kau masih begitu."

"Kautau, perempuan yang berkahwin dan melahirkan anak - tak kiralah berapa ramai - akan hilang seri remaja dari wajahnya. Seri wajah remajamu akan hilang dirampas oleh anak-anak dan kepayahan hidupmu. Bukannya mudah membesarkan anak-anak."

"Tapi, yang menariknya jika suamimu menjaga matanya dari melihat perempuan-perempuan lain, kau akan tetap seperti pada hari perkahwinanmu kerana suamimu tidak sempat membandingkanmu dengan perempuan yang jauh lebih muda daripadamu. Di matanya, kau seperti pada hari pernikahanmu walaupun kau berusia 60 tahun. Umur kau sekarang 25 kan?"

Gadis itu senyap.

"Kaumuda atau tua bukanlah kerana usiamu sudah meningkat. Bukan. Tapi kerana adanya perbandingan antara kau dan perempuan lain. Begitu juga kecantikan."

Lelaki itu diam sebelum menggenyeh-genyehkan matanya. Mulutnya ditahan dikatup dengan tapak tangannya apabila dia menguap.

Sepi memanggung suasana petang yang teduh.

Saya cuba mengingati percakapan mereka. Barangkali saya boleh catatkan perbualan mereka. Gadis yang akan bertunang tadi sudah berlalu. Mungkin dia ke surau untuk solat asar. Dari jauh saya dapat lihat sebuah bas perlahan-lahan memasuki kawasan stesen bas. Dan, angin sore berhembus lembut - menyegarkan saya dengan udara lembapnya.

Catatan: Tajuk sebenar entri ini ialah "Kuala Lipis: Satu Catatan Transit"

3 ulasan:

MamaSara berkata...

sungguh menyentuh hati membacanya..
betul...perempuan setelah menjadi ibu..lupe pd diri sdiri...hanya anak yg diingat..baju anak penuh satu almari..baju sendiri..tak terbeli..ghairahnya mempunyai anak...

Arniwaty Abdullah berkata...

good....

Kawan lama berkata...

ermm...saya suka membacanya..bila nak sambung lg..