Khamis, 15 Mei 2008

Pakeri

Pakeri sedikit terkial-kial mencari kaunter tiket Kereta Api KOMUTER. Dia sudah lama tidak menaiki kereta api. Seingatnya, dia menggunakannya sesekali sahaja - berkursus di Shah Alam, membuat tugasan di Putrajaya, dan bertemu Azrai di sekitar UiTM - setelah dicadangkan oleh orang yang akan menjemputnya. Dia berjalan lambat-lambat, memerhatikan orang lalu-lalang di ruang antara kaunter tiket Kereta Api KOMUTER dan elarti. Dia juga lebih terkial-kial mencari platform yang harus dia berada - supaya tidak silap menaiki tren. Dia tidak begitu kesal jika tersalah menaiki tren kerana dia amat gemar melihat-lihat kehidupan di luar tingkap tren. Kekesalannya cuma satu - dompetnya mulai menipis kerana terpaksa membayar tambang yang tidak sepatutnya dibayar.

Beg galasnya disandang di bahu kemas-kemas, Pakeri menggunakan eskalator untuk turun ke Platform 4. Gerakan eskalator yang malas-malas disukainya kerana matanya sempat melilau-lilau ke dalam restoren KFC. (Dia mahu lihat kalau-kalau Zamri ada di dalamnya kerana dia dikhabarkan Zamri bekerja di sebuah restoren makanan segera di KL Sentral). Sesampainya di platform, ada gadis yang sepertinya - terkial-kial mencari platform. Mahunya dia membantu, tapi bila mengingatkan dia juga dua kali lima dengan gadis itu, segera hasratnya itu mati.



Pakeri berjalan ke Platform 4. Di seberang sana, barangkali lebih seratus orang sedang menunggu untuk menaiki tren. Seorang lelaki mengusap-usap kepala anak perempuannya - memujuk supaya berhenti menangis; seorang lelaki India berkemeja biru lembut mengepit senaskhah akhbar - sesekali dia melihat-lihat jam tangannya yang berwarna keemasan; beberapa pelajar berpakaian seragam sekolah berbual-bual sambil seorang dua menonton televisyen yang melekap di dinding platform; beberapa pasangan - barangkali kekasih sedang berbual semacam mahu berbisik; ada lebih daripada 20 orang sedang duduk dan kelihatan serius menanti tren; dan seorang pekerja sedang menyapu lantai - kelihatan tidak menyapu apa-apa kerana lantai hampir tidak ada secebis kertas pun.



Merapati seorang perempuan India sekitar 20-an, Pakeri bertanya: "Mahu ke Rawang?" Segera dijawab oleh gadis itu: "Ya."

"Saya nak ke Batang Kali."

"Ooo...."

Kemudian dia mendongak melihat papan yang tertera jadual perjalanan tren yang betul-betul tergantung di atas kepalanya. Hmmm, lagi sepuluh minit. Kata hatinya. Gadis India tadi menghampiri sebuah telefon awam (sebenarnya ada empat tetapi dua sudah rosak). Dia meletakkan beg plastik makanan di atas punat-punat telefon - kemudian mendail.


Ada beberapa orang penumpang tidak jauh darinya. Mereka duduk di kerusi. Pakeri berdiri seinci dua dari garisan kuning. Dia segera sedar bahawa penumpang diingatkan supaya tidak berdiri melebihi garisan berwarna itu. Cahaya di platformnya yang sedikit suram menumpulkan minatnya untuk memerhati. Dia tunduk. Dia masih ingat, malam tadi di kepalanya terlintas sepotong nama. Lalu, segera dia menaipkan nama itu untuk mencari maklumat tentangnya, kalau-kalau ada. Dia sedikit hampa. Tidak ada apa-apa yang ditemuinya - melainkan sekeping gambar. Gambar yang menyedutnya ke ruang masa silam. Serasa dia menjadi sedikit muda, sekurang-kurangnya sepuluh tahun dari usianya kini. Tapi, bila dibiarkan fikirannya menjalar-jalar seputar gambar itu, segera pula tumbuh kesesalan - tapi dia tidak pasti adakah dia perlu berasa seperti itu. Sebab itu, sejak malam tadi dia berusaha mencari manusia yang sedang bergambar yang dilihatnya di sebuah laman web. Dan sejak malam tadi juga, dia tidak mampu mengusir ingatannya (berserta khayalannya juga) pada sosok itu. Apabila dia mengingatkan pelbagai masalah manusia pada masa ini, kemudian mempertentangkan dengan peribadi di dalam gambar malam tadi, serta sesekali melintas bayang-bayangan buruk di fikirannya - dia menjadi resah. Aku mahu jumpa dengannya! Laung Pakeri dalam hati.

Tiada ulasan: