Selasa, 20 Mei 2008

Fragmen - Hidup Sepanjang Landasan @ Sungai Masih Jernih

Lelaki-lelaki sudah mula beransur menuruni rumah. Sebelum pulang, mereka bersalam-salaman dengan Yasir - ada yang menepuk-nepuk bahunya - yang berdiri di bendul, sedang Manap meraba kocek baju gumbangnya, mengeluarkan celepa, mengambil sebatang rokok daun, dikebek dan dilurut-lurutnya, dibubuh tembakau, kemudian dimancisnya rokok dan disedutnya dalam-dalam - pipinya kelihatan cengkung. Kepada para tamu, Yasir tidak lupa berpesan: "Malam esok datang lagi ya."
Mubin sedang bercakap-cakap dengan Zulkifli di tepi tingkap - sesekali dia membetulkan kain pelikatnya kerana bimbang terselak. Zulkifli banyak menggangguk, sedang sesekali Mubin menggaru-garu pipi kanannya. Yasir memrhatikan mereka seketika, kemudian dia mengengsot menghampiri Manap.
"Nap, aku fikir esok mahu ke sungai. Cari batu. Cari yang lonjong. Nanti bolehlah buat nisan. Pelepah nyiur akan kering kecut akhirnya."
"Hmm, bagus tu." Manap membalas sedang di bibirnya tersepit rokok. Entah kenapa dia berasa dengan kata-kata Yasir tadi. Dia juga berfikir kalau-kalau bininya juga jadi macam arwah Melah - dijemput terlebih dulu daripada laki - tentu dia juga akan sepedih Yasir. Tapi dia segera ingat, ketika dia menemani Fauziah membasuh baju di pengkalan Pak Man, dia memuji-muji bininya itu dengan kata-kata: "Abang bertuah dapat Yah. Kalau Yah mati dulu, tentulah abang akan jadi tak tentu arah." Belum sempat dia melanjutkan pujiannya, Fauziah cepat-cepat memotong bicaranya, "Mana boleh Yah mati dulu. Abanglah kena mati dulu. Kalau Yah mati dulu, siapa yang nak uruskan pakai makan abang." Fauziah tersengih ketika mengucapkan begitu, kemudian menyimbah-nyimbah air ke arahnya. "Hei, orang dah pakai cantik-cantik ni."Dia terkejut dan berlari ke bawah rumpun buluh di tepi tangga batu menuju ke sungai.
Tangisan bayi dari arah sebuah bilik menyedarkan Manap dari mengingat senda gurau dengan bininya. Dia tahu tangisan itu tangisan anak bongsu Yasir. Serasanya, bayi itu laparkan susu. Dan, dia menjadi semakin pedih. 'Kasihan budak ni, kecil-kecil lagi sudah tak ada emak.'

Khamis, 15 Mei 2008

Pakeri

Pakeri sedikit terkial-kial mencari kaunter tiket Kereta Api KOMUTER. Dia sudah lama tidak menaiki kereta api. Seingatnya, dia menggunakannya sesekali sahaja - berkursus di Shah Alam, membuat tugasan di Putrajaya, dan bertemu Azrai di sekitar UiTM - setelah dicadangkan oleh orang yang akan menjemputnya. Dia berjalan lambat-lambat, memerhatikan orang lalu-lalang di ruang antara kaunter tiket Kereta Api KOMUTER dan elarti. Dia juga lebih terkial-kial mencari platform yang harus dia berada - supaya tidak silap menaiki tren. Dia tidak begitu kesal jika tersalah menaiki tren kerana dia amat gemar melihat-lihat kehidupan di luar tingkap tren. Kekesalannya cuma satu - dompetnya mulai menipis kerana terpaksa membayar tambang yang tidak sepatutnya dibayar.

Beg galasnya disandang di bahu kemas-kemas, Pakeri menggunakan eskalator untuk turun ke Platform 4. Gerakan eskalator yang malas-malas disukainya kerana matanya sempat melilau-lilau ke dalam restoren KFC. (Dia mahu lihat kalau-kalau Zamri ada di dalamnya kerana dia dikhabarkan Zamri bekerja di sebuah restoren makanan segera di KL Sentral). Sesampainya di platform, ada gadis yang sepertinya - terkial-kial mencari platform. Mahunya dia membantu, tapi bila mengingatkan dia juga dua kali lima dengan gadis itu, segera hasratnya itu mati.



Pakeri berjalan ke Platform 4. Di seberang sana, barangkali lebih seratus orang sedang menunggu untuk menaiki tren. Seorang lelaki mengusap-usap kepala anak perempuannya - memujuk supaya berhenti menangis; seorang lelaki India berkemeja biru lembut mengepit senaskhah akhbar - sesekali dia melihat-lihat jam tangannya yang berwarna keemasan; beberapa pelajar berpakaian seragam sekolah berbual-bual sambil seorang dua menonton televisyen yang melekap di dinding platform; beberapa pasangan - barangkali kekasih sedang berbual semacam mahu berbisik; ada lebih daripada 20 orang sedang duduk dan kelihatan serius menanti tren; dan seorang pekerja sedang menyapu lantai - kelihatan tidak menyapu apa-apa kerana lantai hampir tidak ada secebis kertas pun.



Merapati seorang perempuan India sekitar 20-an, Pakeri bertanya: "Mahu ke Rawang?" Segera dijawab oleh gadis itu: "Ya."

"Saya nak ke Batang Kali."

"Ooo...."

Kemudian dia mendongak melihat papan yang tertera jadual perjalanan tren yang betul-betul tergantung di atas kepalanya. Hmmm, lagi sepuluh minit. Kata hatinya. Gadis India tadi menghampiri sebuah telefon awam (sebenarnya ada empat tetapi dua sudah rosak). Dia meletakkan beg plastik makanan di atas punat-punat telefon - kemudian mendail.


Ada beberapa orang penumpang tidak jauh darinya. Mereka duduk di kerusi. Pakeri berdiri seinci dua dari garisan kuning. Dia segera sedar bahawa penumpang diingatkan supaya tidak berdiri melebihi garisan berwarna itu. Cahaya di platformnya yang sedikit suram menumpulkan minatnya untuk memerhati. Dia tunduk. Dia masih ingat, malam tadi di kepalanya terlintas sepotong nama. Lalu, segera dia menaipkan nama itu untuk mencari maklumat tentangnya, kalau-kalau ada. Dia sedikit hampa. Tidak ada apa-apa yang ditemuinya - melainkan sekeping gambar. Gambar yang menyedutnya ke ruang masa silam. Serasa dia menjadi sedikit muda, sekurang-kurangnya sepuluh tahun dari usianya kini. Tapi, bila dibiarkan fikirannya menjalar-jalar seputar gambar itu, segera pula tumbuh kesesalan - tapi dia tidak pasti adakah dia perlu berasa seperti itu. Sebab itu, sejak malam tadi dia berusaha mencari manusia yang sedang bergambar yang dilihatnya di sebuah laman web. Dan sejak malam tadi juga, dia tidak mampu mengusir ingatannya (berserta khayalannya juga) pada sosok itu. Apabila dia mengingatkan pelbagai masalah manusia pada masa ini, kemudian mempertentangkan dengan peribadi di dalam gambar malam tadi, serta sesekali melintas bayang-bayangan buruk di fikirannya - dia menjadi resah. Aku mahu jumpa dengannya! Laung Pakeri dalam hati.

Selasa, 13 Mei 2008

Terkenang Masa Lalu

Pada suatu tengah hari, saya rasa malas ke sekolah. Ketika itu saya bersekolah pada sesi petang dalam darjah dua. Seingat saya, sebelum memakai pakaian seragam sekolah, saya bersedap-sedapan mandi di sungai - Sungai Galas yang mengalir di pinggir kampung saya.
Saya di dapur untuk makan sebelum ke sekolah, ibu sedang menyediakan keperluan saya. Saya mahu berkata sesuatu kepadanya.
"Orang (saya) ingat tak nak (ber)sekolahlah." Saya memang tujukan kata-kata itu pada ibu.
Pantas dia menjawab," Tak nak sekolah?" Kemudian dia menyambung,"kamu nak jadi lembu? Kena cucuk hidung di padang." Daripada nada suara dan mimik mukanya, ada keseriusan pada kata-katanya.
Saya senyap sahaja. Sehinggalah tamat persekolahan, itulah kali pertama dan terakhir saya menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah.
Sesedar, rupa-rupanya saya sudah melalui tiga tahun di Universiti Malaya dan tamat peperiksaan akhir pada minggu pertama bulan Mei. Dan, insya Allah saya akan jadi siswazah sedikit masa lagi. Cerita saya dan ibu berlaku pada tahun 1990.
Bayangkan, sekiranya ibu bersetuju dengan hasrat saya yang mahu berhenti sekolah. Di manakah saya pada saat ini?

Sajak kepada Palestina

Maaf kupinta kerana ini kata-kata pertamaku buat kalian. Aku bukan tidak mahu menulis warkah kepada kalian kerana apa yang ingin kunyatakan kepada kalian sudah diucapkan oleh teman-temanku.

Cukuplah aku berkata betapa aku bersyukur kerana aku tidak diuji seperti kalian. Kerana aku tidak pasti adakah aku cukup berani seperti kalian. Dan serasa aku cemburu pada kalian - saban detik pintu syahid tidak pernah ditutup dan kalian menapak megah ke arahnya.

Barangkali Tuhan mentakdirkan aku di sini kerana Dia dan aku amat tahu - akulah manusia yang paling penakut.

Hidup

Hidup ini bukannya senang seluruh. Bila-bila masa ada kekalahan - A. Samad Said